Home Hiburan AIR MATA MARSHA IRINGI KEMENANGAN HENING RINDU

AIR MATA MARSHA IRINGI KEMENANGAN HENING RINDU

KUALA LUMPUR: Kejayaan lagu Hening Rindu merangkul emas dalam kategori Reka Bentuk Bunyi Terbaik yang dicipta di Asia untuk Program/Siri TV Asia pada Anugerah ContentAsia 2025 di Taipei, kelmarin, menjadi detik penuh bermakna buat penyanyinya, Marsha Milan.

Memetik laporan Berita Harian, lebih istimewa, pengiktirafan itu bukan sekadar kemenangan peribadi, sebaliknya dianggap hadiah besar buat semua tenaga kerja di belakang tabir yang mencurahkan keringat dalam proses pembikinannya.

Marsha atau nama lengkapnya, Marsha Milan Londoh, 40, mengakui terkejut dan sebak saat menerima berita gembira itu.

“Sebenarnya saya hilang kata-kata ketika dimaklumkan menerima anugerah itu. Air mata saya terus mengalir. Saya benar-benar tidak sangka kemenangan ini berpihak kepada kami.

“Bagi saya, anugerah ini adalah milik insan yang menjayakan rakaman lagu ini iaitu penerbit, komposer, Wan Saleh dan Ikhwan Fatanna serta Rakaman Studio,” katanya kepada BH Online.

Pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 itu menyifatkan kemenangan memberi semangat baharu buatnya.

“Syukur Alhamdulillah, ia seperti hadiah paling indah. Ia satu semangat baru untuk saya dan juga rakan penggiat seni,” kongsi Marsha.

Marsha juga percaya Hening Rindu berdiri kukuh kerana kerjasama erat semua pihak, bukan hanya dirinya selaku penyanyi.

“Bagi saya, ini bukan hanya kemenangan peribadi, tetapi inspirasi buat seluruh pemain industri seni tanah air. Semoga ia jadi pemangkin untuk kita terus melangkah jauh, bukan sekadar di Malaysia, tetapi di pentas dunia,” katanya.

Sementara itu, Ikhwan yang mencipta lagu berkenaan menyifatkan kejayaan di Taipei sebagai sesuatu di luar jangkaan.

“Ketika Hening Rindu memenangi AJL dulu pun saya rasa seakan mimpi. Kini ia diiktiraf pula di pentas antarabangsa, ini benar-benar bermakna. Lebih membahagiakan, saya dapat berkongsi saat ini bersama Marsha dan Wan Saleh,” katanya.

Ikhwan percaya pengiktirafan itu menangkis persepsi negatif bahawa lagu tempatan kurang berkualiti.

“Masih ada yang skeptikal, kononnya muzik kita tidak berkualiti. Hakikatnya, kemenangan ini membuktikan karya Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan muzik luar.

“Bagi saya, ini antara anugerah terbaik yang bukan sahaja menyuntik semangat, malah mampu menjadi inspirasi kepada rakan komposer, penulis lirik dan pencipta lagu lain.

“Kita berkongsi cita-cita serta niat sama untuk mengangkat muzik tempatan ke tahap lebih tinggi. Harapan saya, karya kita bukan sahaja terus diterima di Malaysia, malah menembusi pasaran dunia,” ujarnya.

Dengan kemenangan itu, Hening Rindu terbitan Alternate Records and Talents Malaysia berjaya menewaskan pencabar dari seluruh Asia termasuk Bad Guys, Furever Yours, Karuvanam, Lamput Musim 4 – Boss On The Moon dan Shape of Love.

Anugerah ContentAsia 2025 adalah acara tahunan mengiktiraf kandungan video premium dan pencapaian bakat merentasi platform di rantau Asia.

Edisi kali ini membabitkan lebih 150 program yang dicalonkan, sekali gus menonjolkan persaingan sengit industri kandungan kreatif serantau. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here