Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Cubaan menyeludup beras putih dari Thailand untuk dijual di pasaran tempatan digagalkan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan di Kampung Lawang, Batu Gajah, di sini, pada Rabu lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan berkata dalam kejadian jam 3.30 pagi, sepasukan anggota PGA yang melakukan rondaan terserempak dengan beberapa lelaki sedang memunggah guni beras ke bahagian belakang sebuah treler.
“Menyedari kehadiran polis, semua lelaki terbabit melarikan diri ke kawasan semak, namun pemandu treler bersama seorang penumpang gagal melepaskan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 36,000 kilogram beras putih disyaki diseludup dari negara jiran disimpan di belakang treler berkenaan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM144,000,’katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia 19 dan 53 tahun.
Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Kawasan Sempadan Padi dan Beras Negara (KSPBN) Kelantan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994. IMedikel TV






