KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, 32, mengambil pendekatan berhati-hati dalam mendedahkan anaknya, Nik Muhammad Nik Iruwan di platform media sosial.
Memetik laporan Berita harian, Nabila atau nama sebenar, Nur Nabila Mohd Razali, berkata dia dan suami, Nik Iruwan Nik Izani, sepakat untuk tidak terlalu kerap berkongsi mengenai anak mereka demi menjaga privasi serta keselamatan.
“Bagi saya, pendedahan anak ke dunia media sosial ini bergantung kepada pilihan masing-masing. Saya dan suami sepakat untuk berkongsi hanya apabila perlu saja.
“Kadang-kadang memang terlepas, tetapi suami akan ingatkan supaya letakkan had. Jadi, sekali-sekala bolehlah, kerana saya faham sebagai figura awam, orang ramai ingin tahu keadaan kita sekeluarga termasuk anak,” katanya ditemui pada sidang media BNC Family 360 di Cheras, di sini, kelmarin.
Nabila menjelaskan langkah itu diambil bagi mengelak sebarang risiko terhadap keselamatan anaknya, apatah lagi dengan pelbagai berita buruk yang berlaku kebelakangan ini.
“Saya risau dan takut… Sekarang banyak kes yang kita dengar, jadi lebih baik berjaga-jaga,” luahnya.
Tambah penyanyi lagu Peluang Kedua ini, naluri keibuan semakin sensitif apabila terbaca berita membabitkan penderaan atau buli kanak-kanak.
“Saya sangat mudah tersentuh apabila membaca kisah sebegitu. Lebih-lebih lagi apabila perlu meninggalkan anak di bawah jagaan orang lain.
“Bukan soal tidak percaya, tetapi sebagai ibu, saya rasa biarlah anak berada di tangan kita sendiri. Kita tidak mahu menyesal kemudian hari,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabila dilantik sebagai jurucakap Karnival BMC Family 360° yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 19 September ini di pusat beli-belah BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras, di sini. – BH Online –
IMedikel TV






