Home Buletin Semasa CEKAK MERDEKA KAWAT BULU, TREND BARU SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN

CEKAK MERDEKA KAWAT BULU, TREND BARU SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Aksesori bertemakan patriotik seperti cekak dan sepanduk semakin mendapat sambutan sempena Hari Kemerdekaan apabila hasil kraftangan itu mula menjadi trend tahun ini.

Menurut pereka cekak kawat berbulu, Nurul Shuhaida Syazwani Mat Zaini, 25, dia menerima tempahan lebih 100 unit cekak dan sepanduk sejak awal bulan lalu sekali gus meraih pendapatan kira-kira RM2,000.

“Pada awalnya, saya hanya buat suka-suka sahaja untuk isi masa lapang tetapi selepas memuat naik di media sosial, saya tidak sangka mendapat tempahan untuk cekak dan sepanduk.

“Cekak dan sepanduk ini berunsurkan bunga raya dan Jalur Gemilang ditambah juga dengan warna putih, merah, biru dan kuning yang menaikkan lagi semangat patriotik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paloh, Tendong, di sini pada Rabu.

Dia berkata, bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan cekak adalah kawat bulu selain kotak dan pelbagai barangan lain untuk dijadikan sepanduk.

Katanya, hasil rekaan itu bukan sahaja digunakan untuk sambutan biasa, malah boleh dijadikan pelengkap busana bagi pertandingan pakaian atau perarakan merdeka.

“Paling terharu bila tengok orang pakai hasil daripada tangan kita sempena sambutan Merdeka, tak sangka boleh beri semangat dan serikan suasana bulan kemerdekaan,” katanya.

Menurutnya, cekak merdeka dijual antara RM25 hingga RM40, manakala sepanduk mencecah RM70 seunit, bergantung kepada saiz rekaan.

Katanya, dia mampu menghasilkan kira-kira 15 unit cekak dan enam unit sepanduk dalam sehari.

Dia berkata, pelanggannya terdiri daripada golongan dewasa, kanak-kanak dan pihak sekolah dari negeri luar termasuk Perak, Kuala Lumpur dan beberapa kawasan luar bandar.

Nurul Shuhaida Syazwani turut menyifatkan sambutan tahun ini paling meriah dan membuka peluang untuk terus mengembangkan kreativiti serta menambah pendapatan sampingannya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here