Home Luar Negara 3 MAUT, 8 CEDERA DALAM KES TEMBAKAN DI BROOKLYN

3 MAUT, 8 CEDERA DALAM KES TEMBAKAN DI BROOKLYN

NEW YORK: Sekurang-kurangnya tiga maut manakala lapan lagi cedera apabila beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam sebuah restoran di Brooklyn awal pagi semalam, menurut pihak berkuasa.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Pesuruhjaya Jabatan Polis New York (NYPD), Jessica Tisch berkata, pegawai polis bergegas ke lokasi selepas menerima laporan kejadian tembakan di lounge Taste of the City di Crown Heights, kira-kira jam 3.30 pagi.

Berdasarkan siasatan awal yang masih berjalan, Tisch berkata kes berkenaan dipercayai berpunca daripada keganasan kumpulan samseng.

“New York City mencatatkan jumlah kes tembakan dan mangsa tembakan paling rendah dalam tempoh tujuh bulan pertama 2025, namun ini tetap satu kejadian yang mengerikan.

“Ia satu kes tembakan yang dahsyat. Tiada cara lain untuk menggambarkannya,” tambah Tisch.

Datuk Bandar New York, Eric Adams, pula berkata pada sidang media bahawa kadar jenayah di New York berjaya diturunkan.

“Lebih 2,000 senjata api haram telah dikeluarkan dari jalanan. Saya boleh berikan angka dan statistik itu. Tetapi ia tidak mampu menenangkan mangsa keganasan senjata api,” katanya.

Kesemua mangsa maut adalah lelaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mereka berusia 19, 27 dan 35 tahun, kata polis.

Menurut laporan New York Daily News, salah seorang daripada mangsa dikenali sebagai Jamel Andre Childs, 35, terbunuh ketika cuba meleraikan pergaduhan sebelum tembakan berlaku.

Daripada 11 mangsa, lapan adalah lelaki dan tiga wanita, dengan umur diketahui antara 27 hingga 61 tahun.

Lapan mangsa yang cedera membabitkan lima lelaki serta tiga wanita dan kesemua mereka dibawa ke hospital berhampiran dengan mengalami kecederaan ringan.

Tisch berkata sekurang-kurangnya empat individu bersenjata melepaskan puluhan tembakan di dalam restoran berkenaan dan turut terkena orang awam.

Pihak polis mengumpul sekurang-kurangnya 42 kelongsong peluru daripada pistol 9mm dan 45 kaliber di lokasi kejadian.

Satu senjata api ditemui berhampiran tempat kejadian dan polis sedang menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan kes itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum menamakan sebarang suspek atau membuat tangkapan buat masa ini.

Premis berkenaan dibuka tiga tahun lalu dan pernah menjadi lokasi kes tembakan lain pada November 2024, namun tidak membabitkan kehilangan nyawa.

Kes tembakan beramai-ramai yang kekal tinggi di Amerika Syarikat (AS) mencetuskan gesaan daripada sebahagian pihak untuk memperketat kawalan senjata api.

Namun, Kongres sebahagian besarnya gagal atau enggan memenuhi tuntutan terbabit.

Sehingga Ahad, lebih 270 kes tembakan besar-besaran berlaku di AS tahun ini, bersamaan purata 1.18 kes sehari, menurut Gun Violence Archive, sebuah pusat sumber bebas politik.

Portal itu mentakrifkan insiden tembakan besar-besaran sebagai kejadian yang mengorbankan atau mencederakan empat orang atau lebih. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here