Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mensasarkan pengurangan sebanyak 30 peratus pembuangan sampah menerusi projek Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, terdapat tujuh kawasan DTRC sudah beroperasi termasuk di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok dan Kota Bharu yang mendapat peruntukan di bawah kerajaan negeri dan persekutuan.

“DTRC Panji bermula tahun lalu, itu adalah projek perintis kita.
“Jika ikut jumlah perancian, satu penduduk akan membuang sampah kira-kira lebih 1kilogram (kg).
“Jadi kita sasarkan pengurangan sehingga 30 peratus. Kalau satu rumah mereka boleh mengitar 5kg sampah dan kami berharap dapat dikurangkan kepada 3kg sehari,”katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) Kubur Maras, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedang memperluaskan lagi DTRC dalam usaha memberi kesedaran kepada penduduk, selain sampah boleh dikitar semula seperti barangan aluminum, e-waste, plastik dan kertas yang diasingkan dapat dijual.
Katanya sehingga kini terdapat empat lagi PBT yang belum mempunyai DTRC termasuk di Gua Musang, Machang dan Kuala Krai yang dijangka beroperasi pada tahun ini.
“Kalau mengikut rancangan, kita hendak membina pusat kitar semula di setiap PBT sebagai projek perintis dan dikembangkan ke taman-taman perumahan terpilih. Kesemuanya pusat kitar semula itu adalah secara pandu lalu.
“Kalau boleh setiap PBT ada pusat kitar semula dan taman-taman terpilih untuk memudahkan kempen kitar semula kepada penduduk,”katanya.
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40,000 bagi menaik taraf DTRC dengan pembinaan bermula 24 November dan siap sepenuhnya pada 21 Disember tahun lalu dengan kos sebanyak RM38,450 yang beroperasi sejak 22 Februari lalu.
Katanya DTRC Kubur Maras beroperasi 24 jam dan tujuh hari seminggu.
Jelasnya, penduduk juga dinasihatkan supaya mengasingkan bahan buangan tersebut sebelum ia dijual.
“Ini adalah pusat kitar semula yang kedua di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Yang pertama di Panji, kita buka setiap hari Khamis jam 11 pagi, manakala di DTRC Kubur Maras dibuka 24 jam, tujuh hari seminggu.
“Ini bagi membolehkan penduduk di sekitar untuk membuat pengasingan sampah dan membuang sampah yang diasingkan ke pusat kitar semula secara pandu lalu,”katanya.
Katanya, pada masa sama kempen kebersihan sentiasa diadakan bagi memastikan mencapai Dasar Kelantanku Bersih 2022-2027.
Dalam pada itu, Hilmi berkata melalui Program Sejati Madani, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membina Pusat Kitar Semula Pintar iaitu di Kampung Belukar, Panji dan Kampung Binjai, Pantai Cahaya Bulan (PCB), manakala dua lokasi baharu dalam perancangan iaitiu di Taman Desa Kemumin dan Pantai PCB di sini.
IMedikel TV






