Home Luar Negara TAUFAN ERIN MEMBADAI CARIBBEAN DENGAN HUJAN LEBAT

TAUFAN ERIN MEMBADAI CARIBBEAN DENGAN HUJAN LEBAT

WASHINGTON: Taufan Erin meningkat dengan pantas menjadi ribut Kategori 5 semalam yang disifatkan ‘berbahaya dan dahsyat’, membawa hujan lebat membadai pulau-pulau Caribbean.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, amaran turut dikeluarkan kepada penduduk setempat mengenai kemungkinan banjir kilat dan tanah runtuh.

Erin, taufan pertama bagi musim Atlantik yang dijangka amat kencang tahun ini, diramal membawa hujan dan angin kencang ke pulau-pulau Caribbean namun tidak dijangka melanda daratan.

“Taufan Erin dijangka bergerak di utara Kepulauan Virgin dan Puerto Rico sehingga hari ini (Ahad).

“Kemudian, ia diramalkan melepasi timur Kepulauan Turks and Caicos serta tenggara Bahamas pada Ahad malam dan Isnin,” menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) dalam laporan terbaharunya.

Ribut itu dilaporkan membawa angin berkelajuan maksimum 241 kilometer sejam (km/j).

Lokasi taufan ketika itu adalah kira-kira 257 kilometer (km) ke barat laut Anguilla di Kepulauan Leeward utara, yang merangkumi Kepulauan Virgin AS dan British.

Amaran ribut tropika turut dikeluarkan bagi St Martin, St Barthelemy, Sint Maarten serta Kepulauan Turks and Caicos.

“Erin kini taufan Kategori 5 yang dahsyat,” umum NHC semalam, merujuk kepada tahap ribut paling berbahaya dengan kelajuan angin melebihi 252.6 km/j.

Taufan itu mencapai tahap tertinggi dalam skala Saffir-Simpson hanya dalam tempoh lebih 24 jam selepas dikesan sebagai ribut Kategori 1, peningkatan mendadak yang menurut saintis semakin kerap berlaku akibat pemanasan global.

Menurut NHC, ribut itu boleh membawa hujan sehingga 15 sentimeter (cm) di beberapa kawasan terpilih.

“Taufan itu dijangka bertambah kuat secara berterusan hari ini, disusuli kekuatan turun naik sepanjang hujung minggu,” kata agensi berkenaan dalam laporan terdahulu.

Ia turut memberi amaran berhubung banjir kilat dan banjir bandar yang agak besar pada peringkat tempatan, selain tanah runtuh atau gelongsor lumpur.

Musim taufan Atlantik yang bermula Jun hingga hujung November, dijangka lebih hebat daripada kebiasaan, menurut ahli meteorologi Amerika Syarikat (AS).

Beberapa ribut kuat melanda rantau itu tahun lalu, termasuk Taufan Helene yang meragut lebih 200 nyawa di tenggara AS.

Saintis berkata, perubahan iklim akibat aktiviti manusia khususnya peningkatan suhu laut berpunca daripada pembakaran bahan api fosil, meningkatkan kemungkinan berlaku lebih banyak ribut kuat serta lebih kencang dan lebih kerap. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here