Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA KRAI: Dua lelaki termasuk seorang penyelia tapak ditahan bersama 4,000 liter diesel bernilai RM161,600 dalam dua serbuan menerusi Ops Gempur di Kampung Belanga, di sini, pada Khamis.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, serbuan itu dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi oleh pegawai penguat kuasa KPDN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.
“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki ditahan ketika sedang memindahkan 1,000 liter diesel daripada sebuah lori ke dalam tangki IBC menggunakan paip getah, selain semua peralatan pemindahan turut dirampas.
“Anggaran nilai sitaan bagi serbuan ini ialah RM152,900,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua di lokasi sama, seorang lagi lelaki yang disyaki penyelia tapak turut ditahan selepas pasukan penguat kuasa menemui tiga tangki IBC mengandungi kira-kira 3,000 liter diesel dengan nilai RM8,700.
Kedua-dua suspek berusia 29 dan 39 tahun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah.
IMedikel TV






