Home Buletin Semasa KERAJAAN KELANTAN RAKAM PENGHARGAAN PADA PDRM PANTAS GAGALKAN MAKSIAT KUMPULAN GAY

KERAJAAN KELANTAN RAKAM PENGHARGAAN PADA PDRM PANTAS GAGALKAN MAKSIAT KUMPULAN GAY

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakam penghargaan atas tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menggagalkan perjumpaan maksiat membabitkan kumpulan gay di Kemumin, di sini, bulan lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam dan mempertahankan nilai hidup masyarakat yang berlandaskan syariat Islam.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam. Amalan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial.

“Dalam usaha membendung kemungkaran, kerajaan negeri sudah menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) EKJS Kelantan 2019 sebagai instrumen perundangan untuk menangani kesalahan syariah, termasuk perlakuan liwat, musahaqah dan perbuatan tidak bermoral lain yang mencemarkan kesucian hidup beragama,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata walaupun enakmen itu pernah menghadapi cabaran perundangan, kerajaan negeri bertekad meneruskan usaha meminda dan memperkukuh peruntukan itu agar lebih berkesan dalam membendung kemungkaran dan menegakkan hukum Allah.

Menurutnya, bagi memperkukuh tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, kerajaan negeri sudah menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat yang membabitkan pelbagai agensi strategik.

“Jawatankuasa ini berperanan menyelaras pendekatan menyeluruh dan bersifat antara agensi dalam menangani keruntuhan moral dan tingkah laku menyimpang yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat.

“Pada masa sama, kita menggesa Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya mengambil langkah tegas menyekat akses kepada platform aplikasi digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual, tambahnya.

Jelasnya, ruang digital tidak wajar dibiarkan menjadi medan tanpa kawalan yang merosakkan pemikiran dan akhlak masyarakat, khususnya golongan muda.

Terdahulu, hari ini media melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan ada perjumpaan kumpulan gay di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, yang dipercayai disertai hampir 100 gay diserbu pihak polis.

Serbuan dilakukan jam 1 pagi pada pertengahan bulan lepas turut merampas ratusan kondom dan ubat HIV hasil risikan dan maklumat awam melibatkan puluhan lelaki lain sudah pulang dan 20 lelaki yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here