Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: “Kerajaan negeri tidak pernah lari dari tanggungjawab. Kita sudah melakukan apa yang termampu, dari sudut menyediakan persekitaran yang baik, pendidikan, dakwah, pengukuhan institusi keluarga, hingga kepada penglibatan belia dalam program-program bermanfaat,”kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata demikian melalui hantaran di media sosial mengenai kebimbangan mengenai rakyat di negeri berkenaan masalah sosial.
“Yang lebih penting ialah bagaimana kita boleh bersatu dalam mencari penyelesaian. Setiap agensi mesti kembali duduk semeja, melihat kepada punca sebenar, mengenal pasti lubang-lubang kelemahan yang ada, dan bertindak dengan penuh keikhlasan. Kerana apabila dadah menular, ia tidak memilih mangsa. Anak pemimpin, anak petani, anak guru, semuanya terdedah.
“Kita mahu anak-anak Kelantan, bahkan anak-anak Malaysia seluruhnya, membesar dalam suasana yang selamat dan sejahtera. Perjuangan ini mesti digalas bersama.
“Laporan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat baru-baru ini menggambarkan realiti yang amat membimbangkan, selain pil kuda yang menjadi pilihan di kalangan remaja dan pelajar sekolah, turut didedahkan bahawa 98 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan adalah kerana suka sama suka,”katanya.
Beliau berkata isu tersebut wajar direnung dengan hati yang terbuka, kerana di sebalik statistik yang mengejutkan, perlu juga ada keadilan dalam membuat penilaian.
“Kelantan hanya sebahagian daripada peta besar Malaysia. Maka ketika angka di sini meningkat, saya khuatir ada tempat lain mungkin lebih buruk, tetapi kerana masyarakatnya tidak melaporkan dan statistik mereka tampak rendah.
“Di Kelantan, kesedaran rakyat untuk tampil membuat laporan adalah lebih tinggi, dan ini sesuatu yang harus dipuji. Masyarakat kita tidak menyembunyikan keburukan di bawah karpet, sebaliknya memilih untuk berdepan dengan realiti. Inilah sifat rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab, bukan acuh tak acuh terhadap maruah dan keselamatan komuniti,”katanya.
Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan ada beberapa kes besar yang berjaya dibongkar oleh pihak berkuasa, melibatkan pengedaran dadah bernilai jutaan ringgit yang berlaku di Kelantan, dan malangnya turut melibatkan rakyat negeri ini sendiri.
“Kejadian seperti ini sering kali dijadikan bahan untuk menuduh kononnya Kelantan menjadi sarang kepada kegiatan haram, sedangkan kedudukannya yang bersempadan terus dengan negara jiran menjadikan Kelantan sebagai laluan transit yang sangat strategik bagi sindiket antarabangsa,”katanya.
Katanya beliau percaya bahawa akar kepada penyelesaian masalah sosial yang membarah hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah melalui pendidikan yang membentuk akhlak, membina jati diri, dan meletakkan nilai agama sebagai asas dalam kehidupan. Kita percaya bahawa dengan ilmu, seseorang itu akan tahu malu kepada dosa, tahu batas antara hak dan batil.
“Perkara kedua yang tidak boleh diabaikan dalam membincangkan isu sosial anak muda hari ini ialah peranan ibu bapa. Dalam Islam, pendidikan anak bukan hanya tanggungjawab guru. Ia bermula dari rumah.
“Apabila timbul persoalan kenapa masih ada yang menagih dadah, mencuri, merogol dan melakukan sumbang mahram, maka jawapan kepada itu ialah kerana sistem nilai dalam diri individu tersebut telah runtuh. Dan inilah yang kita cuba angkat semula nilai yang diajar oleh Islam, dan menjadikan ia sebagai landasan dalam kehidupan rakyat,”katanya.
Justeru, beliau mengalu-alukan ketegasan pihak berkuasa dalam melakukan tangkapan dan rampasan, dan pada masa yang sama, memerlukan kerjasama antara kedua negara.
Jelasnya secara keseluruhannya, keadaan masyarakat di Kelantan masih berada dalam landasan yang baik.
“Ada peningkatan dari segi kesedaran agama, usaha pendidikan, peranan institusi dan kerjasama rakyat. Tidak adil jika kita menilai keseluruhan negeri hanya berdasarkan kesalahan beberapa individu,”katanya.
IMedikel TV






