LONDON: Selama tujuh minit selepas wisel penamat, pemain dan kakitangan Liverpool berdiri di hadapan penyokong mereka di Preston sambil menyanyikan nama Diogo Jota.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, perlawanan persahabatan pramusim di Deepdale lewat malam tadi pada asalnya dirancang sebagai permulaan persiapan Liverpool bagi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, namun ia berubah menjadi satu acara memperingati Jota dan adiknya, Andre Silva yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol, 10 hari lalu.
Liverpool mengharungi aksi pembukaan pramusim mereka dengan penuh profesionalisme, menewaskan Preston 3-1 untuk memulakan kempen musim panas dengan langkah positif.
Conor Bradley membuka tirai jaringan pada minit ke-33, memanfaatkan sentuhan lemah daripada Dominik Szoboszlai yang menerima hantaran lintang leret daripada Federico Chiesa.
Darwin Nunez menggandakan kelebihan Liverpool selepas rehat dan menyampaikan penghormatan menyentuh hati kepada mendiang Jota menerusi gaya sambutannya.
Selepas menjaringkan gol pada minit ke-53, penyerang Uruguay itu berlari ke arah sudut bendera, duduk dan berpura-pura bermain alat kawalan permainan video, gerakan ikonik yang sering dilakukan oleh Jota ketika meraikan jaringan.
Nunez turut melakukan isyarat ‘jerung’ yang pernah dilakukan Jota semasa menjaringkan gol menentang Everton di Goodison Park awal tahun ini.
Namun skuad kendalian Arne Slot gagal mengekang pintu gol daripada dibolosi apabila pemain pertahanan Preston, Liam Lindsay menjaringkan gol menerusi tandukan kencang hasil sepakan sudut pada minit ke-83.
Slot melakukan pertukaran besar-besaran pada separuh masa kedua, seperti kebiasaan dalam aksi pramusim, memberikan peluang kepada beberapa pemain muda dari akademi.
Salah seorang daripada mereka, Ben Doak memainkan peranan dalam gol ketiga Liverpool apabila dia melakukan umpanan kepada Cody Gakpo, yang menjaringkan gol untuk mematikan sebarang harapan kebangkitan Preston.
Liverpool akan meneruskan aksi pramusim mereka pada 26 Julai menentang AC Milan di Hong Kong. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






