Home Politik UMNO PERLU TOLAK PERPECAHAN DALAM PEMILIHAN CALON – ZAMBRY

UMNO PERLU TOLAK PERPECAHAN DALAM PEMILIHAN CALON – ZAMBRY

383
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa ahli UMNO agar mengelak perpecahan khususnya ketika menghadapi pemilihan calon untuk parti tersebut.

Beliau menegaskan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang bersifat demokratik dan memberi ruang kepada setiap ahlinya untuk menawarkan diri sebagai calon dalam semangat keterbukaan.

“Sesiapa yang mempunyai kekuatan dan kelayakan untuk memimpin, boleh mencalonkan diri atau dicalonkan oleh ahli lain kerana UMNO adalah wadah yang melahirkan ramai pemimpin berwibawa.

“Tapi jangan sampai kita bermusuh dan berkelahi apabila bertanding. Bagi yang tidak menang boleh memberi sokongan dan itulah yang menjadikan kekuatan kepada parti kita yang disebut sebagai ‘Aman Jama’i’ maksudnya bergerak dengan satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pengkalan Chepa di Dewan UMNO Negeri Kelantan, di sini pada Sabtu.

Zambry berkata, penglibatan pengundi muda terutama pelajar universiti juga penting dalam dunia politik.

“Sebagai contoh di Nenggiri, kita perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut menekankan supaya ahli UMNO di Kelantan menepis mentaliti kalah dalam diri masing-masing terutama apabila berdepan cabaran dalam perjuangan politik.

“Ada segelintir individu yang mudah berputus asa apabila tewas, malah memilih untuk lompat parti dengan harapan mendapat kedudukan lebih baik di tempat lain.

“Mereka beranggapan parti baharu itu akan memberi keistimewaan kepada mereka, namun hakikatnya perjuangan memerlukan kecekalan, bukan lari daripada cabaran,” katanya.

Justeru, Zambry turut memuji komitmen akar umbi yang kuat di Kelantan memandangkan terdapat 102 cawangan di bawah UMNO Pengkalan Chepa berjaya mengadakan mesyuarat mereka.

“Ini patut dipuji, terutamanya bagi negeri yang telah menjadi pembangkang selama 56 tahun bukan sahaja sejak 1990, malah lebih awal lagi,” tambahnya.

Beliau berkata, sebelum ini UMNO tidak mempunyai jumlah yang begitu kuat di negeri-negeri yang konsisten kalah seperti Kelantan, Perlis dan Kedah.

Ujarnya, peratusan tinggi kehadiran ahli dalam mesyuarat cawangan mencerminkan kekuatan serta komitmen akar umbi terhadap parti tersebut.

Tambahnya, bahagian Pengkalan Chepa telah memperoleh lebih 15,000 undian pada pilihan raya umum yang lalu.

“Namun jangan terlalu selesa dengan jumlah itu kerana bukan mudah beroperasi dalam keadaan kita tidak berkuasa,” ujarnya.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here