Home Hiburan FAUZI NAWAWI, LISDAWATI TAK JAJA ‘HAL DALAM KAIN’

FAUZI NAWAWI, LISDAWATI TAK JAJA ‘HAL DALAM KAIN’

553
0

KUALA LUMPUR: Pelakon Fauzi Nawawi, 52, tidak menafikan berhadapan banyak ujian dalam rumah tangganya dengan isteri, pelakon Lisdawati, 47, selama 19 tahun hidup bersama.

Memetik laporan Harian Metro, Fauzi berkata, dia bagaimanapun bersyukur mereka dapat melaluinya atas dasar saling percaya pasangan, termasuk sepakat tidak menceritakan apa saja masalah kepada pihak lain.

“Isteri saya, Lisdawati adalah seorang wanita yang sangat baik. Saya bersyukur kepada Allah kerana dia menjadi suri hidup saya. Tetapi, lumrah dalam rumah tangga memang akan ada ujiannya.

“Namun, Alhamdulilah kami berdua mempunyai prinsip yang sama iaitu saling menjaga rahsia dalam rumah tangga dan tidak sesekali berkongsi masalah dalam kain kepada umum.

“Jika bergaduh pun, kami juga tidak pernah memuatnaik ke media sosial atau bercerita dengan sesiapa. Termasuk, anak-anak pun tidak pernah tahu yang kami ada masalah,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Fauzi ditemui selepas majlis tayangan episod akhir drama Lambaian Huda yang bersiaran di Viu Malaysia dan berlangsung di sebuah pawagam di ibu kota.

Berbicara lanjut rahsia kebahagiaanya, Fauzi memberitahu, apa yang dilakukan sampai sekarang adalah meletakkan sikap percaya kepada pasangan dan tidak ambil peduli cakap-cakap daripada pihak luar.

“Hubungan kami tiada masalah lain kecuali setiap tiga atau empat bulan mesti akan timbul fitnah di media sosial kononnya saya dan isteri ada masalah serta hubungan mula renggang.

“Ada juga fitnah yang muncul mendakwa kami menuju perceraian. Selalunya, fitnah-fitnah itu akan timbul dulu di Facebook sebelum kemudiannya merebak ke platform lain,” ujarnya.

Menurut Fauzi, apapun baginya sebagai suami isteri yang sudah membuat keputusan hidup bersama, wajar untuk masing-masing berani dan kuat berhadapan setiap ujian yang datang serta cubalah selesaikannya bersama.

Sehubungan itu, Fauzi dan Lisdawati mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh.

Fauzi juga sebelum itu mempunyai empat anak hasil daripada perkahwinan pertamanya dulu iaitu Nurul Hainil Fatihah, Fareez Hazwan, Nurul Hana Farisya, dan Mohd. Fikri Hakimi. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here