Home Buletin Semasa STPM 2024: DUA SAHABAT BAIK RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG, KONGSI TEKNIK SAMA ULANGKAJI...

STPM 2024: DUA SAHABAT BAIK RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG, KONGSI TEKNIK SAMA ULANGKAJI PELAJARAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Dua sahabat baik mencipta kenangan apabila meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

An-Nisa’ Mustapa, 21, dan sahabatnya Fatin Nur Hanis Zulkifli, 20, berkongsi teknik belajar yang sama iaitu dengan teknik peta minda dan kaedah menghafal.

“Alhamdulillah saya tidak sangka dapat 4.00 dan saya dapat 5 prinsipal (PA). Syukur alhamdulillah kerana usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil. Bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT, keluarga, kawan-kawan serta guru-guru yang sentiasa menyokong saya

“Memang kami berdua memilih untuk belajar di rumah masing-masing. Kalau kita hendak jumpa sekalipun hanya di sekolah. Kami belajar berkumpulan, mengulangkaji pelajaran bersama, andai kata saya tidak boleh menghafal, Fatin yang akan membantu saya untuk mengulangkaji. Walau apa sekalipun, kami sentiasa bersama,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima keputusan STPM di SMK Tengku Panglima Raja, di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka mengambil aliran ekonomi dan masing-masing ingin meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pendidikan.

An-Nisa’ anak kelima daripada tujuh beradik itu, berkata dia berjaya memperoleh PNGK 4.00 meskipun lewat setahun mendaftar ke tingkatan enam dan mempunyai matlamat sama bersama sahabatnya, Fatin Nur Hanis.

“Kami selalu bersama, jatuh dan bangkit bersama. Kalau boleh nak sehidup semati bersama kerana dia kawan saya dan dia banyak membantu saya.

“Kalau nak berjaya seorang tidak seronok, tetapi kalau berjaya dengan sahabat aura dia lain sedikit,”katanya.

An-Nisa’ berkata ibunya, Sabariah Omar, 58, bekerja sebagai tukang jahit adalah sumber kekuatannya untuk berjaya.

“Sokongan banyak daripada ibu saya, sebab saya sudah tiada ayah, dia meninggal lima tahun lalu.

“Jadi ibu saya yang bertindak sebagai ibu dan ayah kepada saya, pembakar hidup saya adalah ibu saya,”katanya.

Sementara itu, anak pemandu lori, Fatin Nur Hanis, berkata kesusahan hidup bukan penghalang untuk memperoleh kejayaan.

“Alhamdulillah saya dapat 4.00 dalam STPM 2024. Ini adalah atas segala usaha dan doa yang berterusan.

“Saya sentiasa belajar dengan sahabat saya An-Nisa’ dan mengulangkaji pelajaran bersama. Kalau saya tidak faham, saya akan bertanya An-Nisa’,”katanya.

An-Nisa’ dan Fatin Nur Hanis adalah antara 11 pelajar cemerlang STPM 2024 di SMK Tengku Panglima Raja.

SMK Tengku Panglima Raja adalah sekolah terbaik di Kelantan manakala tiga pelajar STPM 2024 di sekolah tersebut iaitu Nur Amalina Osman, Nurnajwa Syafina Mohd Redzuan dan Muhammad Irham Mazlan dinobatkan sebagai pelajar terbaik kebangsaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here