Home Buletin Semasa IMEDIKEL-MEDIPAK LIMITED PAKISTAN PERKUKUH KERJASAMA DALAM INDUSTRI FARMASEUTIKAL

IMEDIKEL-MEDIPAK LIMITED PAKISTAN PERKUKUH KERJASAMA DALAM INDUSTRI FARMASEUTIKAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Medipak Limited, Pakistan, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang farmaseutikal.

Ketua Pegawai Eksekutif IMPHB, Azman Abdul Jalil, berkata lawatan yang berlangsung di Wisma IMedikel, baru-baru ini menandakan satu langkah penting ke arah pengembangan perniagaan kedua-dua pihak ke peringkat antarabangsa.

“Sepanjang pertemuan tersebut, pelbagai perbincangan konstruktif diadakan melibatkan pertukaran idea dan cadangan untuk membentuk kerjasama jangka panjang, khususnya dalam aspek pengilangan farmaseutikal.

“Delegasi turut diberi peluang melawat fasiliti kilang milik IMedikel, sekaligus memberi gambaran lebih jelas terhadap keupayaan dan potensi pengeluaran syarikat tempatan tersebut,”katanya.

Menurut Azman, lawatan itu menjadi titik tolak kepada usaha memperluaskan jaringan perniagaan ke luar negara, sambil memastikan produk farmaseutikal tempatan dapat menembusi pasaran serantau dengan lebih berkesan.

“Kami amat menghargai kunjungan ini dan percaya ia akan membuka lembaran baharu dalam hubungan perdagangan dan teknologi antara Malaysia dan Pakistan.

“Diharap kerjasama yang dirancang ini dijangka memberi impak positif untuk kedua-dua syarikat,”katanya.

Delegasi Medipak diketuai Pengerusi Kumpulan Syarikat Medipak, Dr. Khalid J. Chowdhry, dan Timbalan Pengurus Besar Medipak Limited, Mohammad Hanif.

Hadir sama Presiden IMedikel, Yusmat Mamat, Ketua Pegawai Kewangan, Shahrul Azlan Mahmood dan Ahli Farmasi, Faiz Syahiran Mohamad. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here