NAIROBI: Dua remaja lelaki dari Belgium yang ditemukan bersama 5,000 semut di Kenya, dikenakan denda AS$7,700 (kira-kira RM33,102) atau 12 bulan penjara kerana melanggar undang-undang berhubung hidupan liar.
Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, hukuman yang dijatuhkan dianggap sebagai denda maksimum bagi kesalahan ini.
Lornoy David dan Seppe Lodewijckx, masing-masing berusia 19 tahun, ditahan pada 5 April lalu selepas pihak berkuasa Kenya menemukan semut itu yang disorokkan dalam tiub ujian di rumah penginapan mereka.
Mereka didakwa 10 hari selepas penahanan.
Menurut pihak berkuasa Kenya, semut itu dipercayai akan diseludup ke pasaran Eropah dan Asia berikutan trend penyeludupan spesies haiwan liar yang jarang ditemukan semakin meningkat.
Majistret Njeri Thuku yang mendengar kes itu di mahkamah lapangan terbang utama Kenya berkata, walaupun kedua-dua remaja itu mengaku mereka hanya naif dan mengumpul semut itu sebagai hobi, spesies semut yang mereka bawa amat bernilai, dan kedua-duanya membawa ribuan semut, bukannya hanya beberapa ekor.
Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) berkata, antara spesies yang dirampas daripada tertuduh, termasuk messor cephalotes iaitu semut besar berwarna merah dan hanya boleh ditemukan di Afrika Timur.
Menurut KWS, penyeludupan haram semut itu bukan sahaja menjejaskan hak kedaulatan Kenya terhadap biodiversitinya, malah merugikan komuniti tempatan dan institusi penyelidikan yang boleh mendapat manfaat ekologi dan ekonomi daripada spesies berkenaan.
“Kes seperti ini menunjukkan perubahan dalam trend penyeludupan dari haiwan liar besar seperti gajah dan badak kepada spesies kecil yang kurang dikenali tetapi sangat penting kepada ekosistem,” kata KWS. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






