Home Buletin Semasa PENANDAAN HARGA UBAT DI KEMUDAHAN SWASTA, FARMASI TELAH DILAKSANAKAN KHAMIS LEPAS

PENANDAAN HARGA UBAT DI KEMUDAHAN SWASTA, FARMASI TELAH DILAKSANAKAN KHAMIS LEPAS

455
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penandaan Harga Ubat di kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta dan Farmasi Komuniti telah dilaksanakan bermula Khamis lepas.

Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), inisiatif itu dilaksanakan sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan agenda ketelusan harga (price transparency) melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

“Ia bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat (informed choice) dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga yang terbaik dalam merancang perbelanjaan ubat-ubatan.

“Penandaan harga ubat hendaklah dilakukan dalam bentuk senarai harga atau tanda harga.

“Skop penandaan harga ubat merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia termasuk ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi atau tidak, ubat melalui kaunter (over-the-counter atau OTC), ubat tradisional, suplemen keshatan, dan sediaan yang dibancuh (extemporaneous),” jelas kenyataan bersama kedua-dua kementerian itu.

Menurut kenyataan itu juga, ubat-ubatan yang dipamerkan untuk jualan dan boleh diakses oleh pengguna, akan dilabel, teg atau tanda harga pada ubat tersebut.

Manakala, ubat yang tidak dipamerkan atau diletakkan di belakang kaunter yang tidak boleh diakses atau dilihat oleh pengguna pula akan dipaparkan dalam bentuk senarai harga jualan.

“Selain itu, senarai harga jualan ubat boleh dipaparkan dalam bentuk fizikal di fasiliti kesihatan terlibat, dalam bentuk katalog, papan kenyataan atau skrin elektronik.

“Fasiliti yang terlibat adalah semua kemudahan jagaan kesihatan swasta yang tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmaten Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] yang menjual, membekalkan atau memberikan (administer) ubat-ubatan, serta farmasi komuniti.

“Inisiatif ini dilaksanakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, fasa pertama pemantauan dan penguatkuasaan perintah itu akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa bagi tempoh tiga bulan.

Langkah tersebut diambil bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan secara berhikmah, ihsan dan berkesan, dan membolehkan setiap fasiliti kesihatan swasta membuat penyesuaian dan pembaharuan secara berperingkat.

“Pemeriksaan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa dengan pendekatan advokasi bagi memastikan pematuhan terhadap perintah ini.

“Penguatkuasaan penandaan harga ubat-ubatan akan dilaksanakan oleh KKM dengan panduan dan kerjasama KPDN.

“Untuk maklumat lanjut, soalan lazim (Frequently Asked Questions, FAQ) boleh diakses melalui portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi, KKM di www.pharmacy.gov.my. Sebarang persoalan, boleh diemelkan ke alamat chu@moh.gov.my,” menurut kenyataan terbabit.

Sementara itu, sekiranya pengguna ingin membuat sebarang aduan berkaitan harga ubat boleh menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM https://moh.spab.gov.my: atau Portal eAduan KPDN: https://eaduan.kpdn.gov.my/

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here