Home Buletin Semasa NRES BUKA 10 KERTAS SIASATAN SELUDUP HIDUPAN LIAR

NRES BUKA 10 KERTAS SIASATAN SELUDUP HIDUPAN LIAR

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka berkaitan penyeludupan hidupan liar membabitkan spesies eksotik dan tempatan bermula 2023 hingga April tahun ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) memandang serius isu terbabit kerana boleh menjejaskan populasi spesis terancam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya komited dalam usaha memperkasakan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

“Sebanyak 10 kertas siasatan sudah dibuka berkaitan penyeludupan hidupan liar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan spesis eksotik atau tempatan seperti kura-kura, ular, burung dan primat.

“NRES akan terus meningkatkan keberkesanan aktiviti kawalan dan operasi penguatkuasaan khususnya di lapangan terbang antarabangsa serta satu Nota Jemaah Menteri akan disediakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi berkata dalam usaha memerangi perdagangan haram itu, pihaknya juga memerlukan kerjasama pada peringkat antarabangsa.

“Bagi memperkukuh usaha ini, NRES menggiatkan kerjasama strategik di bawah Malaysia Wildlife Enforcement Network (MY-WEN) dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS).

“Pendekatan bersepadu ini membolehkan operasi pencegahan, siasatan, dan pendakwaan dijalankan dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Jelasnya, beliau menggesa mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyeludupan hidupan liar akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), termasuk denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara maksimum 15 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Sebagai sebuah negara megabiodiversiti, Malaysia kekal komited dalam melindungi khazanah alam semula jadi demi keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan generasi masa depan.

“Orang awam yang mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan hidupan liar boleh hubungi Jabatan PERHILITAN di talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here