KUALA LUMPUR: Pemenang anugerah Pemain Muda Terbaik Liga Malaysia 2024-2025, Haqimi Azim Rosli menaruh impian besar untuk menjadi peledak utama buat skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Memetik laporan Berita Harian, bintang Kuala Lumpur (KL) City berusia 22 tahun itu bagaimanapun sedar bahawa perjalanannya masih jauh dan dia perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan lagi kualiti persembahannya.
Dia mengakui peluang dan pengalaman yang diraih ketika menyarung jersi Harimau Malaya sebelum ini banyak membantunya untuk menampilkan corak permainan lebih baik dan matang.
“Saya memang menaruh impian untuk menjadi antara pemain utama skuad Harimau Malaya dengan menyumbangkan lebih banyak gol untuk pasukan negara.
“Sudah pasti saya perlu bersaing dengan beberapa pemain yang bagus dan berpengalaman di pentas antarabangsa, namun itu adalah cabaran yang perlu diharungi.
“Perkara utama adalah memikat barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya untuk disenaraikan dalam pasukan,” katanya.
Berdasarkan statistik di laman Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Haqimi beraksi 19 perlawanan Liga Super untuk KL City musim ini dengan meledak lima gol.
Haqimi dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025 yang berlangsung, 23 April lalu. – BH Online –
IMedikel TV






