Home Buletin Semasa SUBSIDI TELUR DITAMATKAN OGOS INI

SUBSIDI TELUR DITAMATKAN OGOS INI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA:  Kerajaan akan menamatkan kawalan harga telur ayam dan mengurangkan subsidi daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula 1 Mei ini, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.

Langkah itu dibuat selaras penyasaran semula subsidi di bawah Kerajaan MADANI selepas mengambil kira jaminan industri bahawa bekalan telur kekal stabil dan mencukupi, malah sepanjang Aidilfitri lalu, harga telur di pasaran mencukupi dengan harga yang kompetitif.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini, berkata hampir RM2.5 bilion dibelanjakan bagi subsidi telur sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, susulan lonjakan kos pengeluaran ketika pandemik dan konflik Ukraine–Russia.

“Tempoh subsidi yang terlalu panjang tidak lagi mampan untuk industri tempatan dan kewangan negara. Ia juga tidak adil kerana turut dinikmati warga asing serta golongan berpendapatan tinggi.

“Sebagai langkah intervensi, industri bersetuju memperkenal telur gred khas pada harga mampu milik. Selain itu, rakyat boleh mendapatkan telur lebih murah menerusi Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Sebarang aduan boleh disalurkan ke e-mel pro@kpkm.gov.my atau hubungi talian hotline KPKM: 03-8000 8000.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here