Home Sukan INI BARU SEPARUH MASA SAJA – RAYA

INI BARU SEPARUH MASA SAJA – RAYA

475
0

LONDON: Penjaga gol, David Raya menegaskan Arsenal masih berpeluang mara ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) walaupun tewas 0-1 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada perlawanan separuh akhir pertama, awal pagi tadi.

Memetik laporan AFp menerusi Harian Metro, pasukan kendalian Mikel Arteta akan ke Paris sebagai pasukan bukan pilihan selepas Ousmane Dembele menjaringkan gol kemenangan PSG pada minit keempat di Stadium Emirates.

Namun penguasaan PSG pada separuh masa pertama gagal menghasilkan lebih banyak gol, manakala Goncalo Ramos dan Bradley Barcola mensia-siakan dua peluang lewat permainan untuk menambah jaringan.

Juara Perancis itu bergantung kepada penjaga gol, Gianluigi Donnarumma yang cemerlang menyelamatkan percubaan daripada Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard untuk mengekalkan kelebihan mereka.

Raya tetap mengambil sisi positif daripada semangat juang pasukannya menjelang perlawanan timbal balik di Parc des Princes pada 7 Mei nanti.

“Mereka bermula dengan pantas dan menjaringkan gol serta menguasai 15 atau 20 minit pertama, tetapi selepas itu kami menguasai sebahagian besar perlawanan dan mencipta beberapa peluang. Donnarumma membuat beberapa penyelamatan baik,” kata Raya.

“Ini baru separuh masa, jadi kami ambil perkara positif. Mereka pasukan hebat, tetapi pujian kepada pemain kami atas usaha mereka. Kami sebenarnya boleh menang.

“Kami tahu mereka gemar menguasai bola dan memang bagus dalam hal itu. Mereka ada peluang dan berjaya menyudahkannya. Kami turut ada peluang untuk menjaringkan gol, tetapi tidak berjaya.”

Arsenal gagal menjaringkan gol dalam perlawanan UCL di laman sendiri buat kali pertama sejak tewas 0-2 kepada Barcelona dalam pusingan 16 terakhir pada 2016.

Ia adalah kekalahan pertama mereka di Emirates dalam 18 perlawanan Eropah.

Namun skuad utara London itu akan mendapat semula khidmat pemain tengah Ghana, Thomas Partey, yang kembali daripada penggantungan untuk aksi kedua, sekali gus membolehkan Declan Rice bermain dalam peranan lebih menyerang.

Raya yakin Arsenal yang menyingkirkan juara bertahan, Real Madrid di suku akhir, mampu sekali lagi mencipta kejutan dalam usaha mereka mara ke final UCL buat kali kedua dan memburu kejuaraan pertama.

“Kami tunjukkan sejak minit ke-25 separuh masa pertama bahawa kami mampu menang ke atas mana-mana pasukan. Kami buktikan musim ini boleh menang di tempat lawan, jadi kami akan ke Paris minggu depan untuk cuba menang,” katanya.

“Kami perlu ambil perlawanan itu dengan cara sama. Kami bermain dengan baik, beri tekanan dan menyukarkan mereka. Ayuh, kita ke Paris minggu depan.” – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here