Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas tanaman hiasan bernilai RM125,000 di sekatan jalan raya, di Lalang Pepuyu, di sini, pada Ahad.
Komander PGA Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, dalam satu kenyataan berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berumur 25 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tanaman tersebut ke pasaran tempatan.
“Pihak kami menahan sebuah lori yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan dalam Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai anak pokok jenis Bromeliad dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam lori tersebut. Tanaman ini disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit,”katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Katanya suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti dan Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






