Home Buletin Semasa PRODUK MAKANAN DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

PRODUK MAKANAN DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

186
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Ramai dalam kalangan kita berusaha untuk menurunkan berat badan dan mengambil pelbagai produk hingga merisikokan diri.

Produk jenama Apple S adalah antara produk kurus yang dikesan mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.

Produk itu dikesan mempunyai bahan tersebut hasil pemantauan Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, pihak KKM melalui menegaskan bahawa status keselamatan produk-produk makanan di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone dan prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Produk tersebut didapati tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, antaranya tiada nama sebenar produk dalam Bahasa Malaysia, serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan dan pengimport. Oleh itu, produk ini tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan. Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut,”menurut kenyataan itu.

Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat.

Selain daripada kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan yang ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya.

“Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaan produk tersebut serta merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang,”menurut kenyataan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here