KUALA LUMPUR: Keputusan mengundang Dzahira Talita Zahra atau Thalita, 12, dalam konsert By Ajai & Mega Friends di Singapura tiada kena mengena dengan persembahan anak perempuan Shuib Sepahtu dan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin itu yang tular di Bukit Bintang, baru-baru ini.
Sebaliknya, Ajai berkata, keputusan mengundang remaja berkenaan disebabkan bakat yang dimiliki.
“Saya dengar nada suara Thalita, walaupun tak sama seperti arwah ibunya, tetap memiliki karisma dan tarikan. Saya memang buat penilaian menyeluruh terhadap bakatnya, bukan sebab Thalita viral, ” kata penerbit, komposer dan penyanyi popular ini.
Dia yang ditemui pada sidang media di ibu negara, baru-baru ini, menambah konsert yang bakal berlangsung di The Star Theatre Singapura nanti mungkin boleh menjadi batu loncatan buat Thalita mengembangkan kerjaya dalam dunia nyanyian secara lebih serius.
Mengenai konsert terbabit, Ajai berkata, ia dijangka berlangsung selama dua jam dengan setiap penyanyi akan mempersembahkan antara dua hingga tiga lagu.
Bagaimanapun, katanya, susunan muzik untuk pentas di Singapura berbeza daripada konsert pertama By Ajai & Mega Friends di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.
“Saya dan pengarah muzik, Sharon Paul akan memberikan susunan muzik baharu dan berbeza. Ada juga lagu baharu yang akan dibawakan,” katanya.
Selain Thalita dan Ajai, konsert itu juga bakal dijayakan Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Hazama, Aina Abdul dan Asmidar.
Sementara itu, Thalita yang turut hadir pada sidang media sama, berkata perasaannya bercampur baur apabila diundang menjayakan konsert sulung buatnya itu.
Bakal mendendangkan dua lagu pada malam penuh bermakna itu nanti, dia kini sedang menjalani latihan vokal bersama Cikgu Shafi.
“Berdebar ada, teruja pun ada, tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan ini. Apa yang boleh dikatakan, saya tak sabar mengadakan konsert di Singapura.
“Lagipun, ini kali pertama saya akan ke Singapura. Sekarang, saya sedang gigih jalani latihan bersama Cikgu Shafi dan bapa. Saya belum boleh berkongsi lagu arwah ibu yang mana bakal saya nyanyikan, tapi saya paling suka lagu Kesetiaan,” katanya.
Sementara itu, Asmidar yang kali pertama diundang menjayakan konsert, berbesar hati dengan undangan berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada Ajai atas undangan dan amat berbesar hari kerana bukan senang mendapatkan peluang keemasan ini. Saya harap warga Singapura terima kehadiran saya kerana saya tidak pernah membuat persembahan di sana,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






