Home Buletin Semasa KERAJAAN KELANTAN SEDIA HADAPI GELOMBANG KEDUA BANJIR

KERAJAAN KELANTAN SEDIA HADAPI GELOMBANG KEDUA BANJIR

156
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Kerajaan Kelantan sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana banjir bukan sahaja untuk gelombang pertama tetapi ia juga membabitkan gelombang seterusnya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan berkata, dalam persediaan tersebut, ramai sukarelawan dan penyumbang yang berkorban untuk membantu meringankan bebanan mangsa banjir yang terkesan.

“Kita bersedia pada tahap terbaik tetapi ada kalanya mangsa banjir yang terkesan adalah lebih ramai sehingga tidak dapat dijangka.

“Oleh itu, kita bersyukur kerana mempunyai sukarelawan yang tetap bekerja siang dan malam walaupun Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup, mereka tetap membantu dan menyediakan segala-galanya.

“Sukarelawan mahupun penyumbang ini juga mempunyai keluarga dan rumahtangga tetapi mereka tetap bersama rakyat Kelantan malah ada mereka yang datang daripada luar Kelantan turut membantu dan ini adalah satu pengorbanan yang tidak dapat dibalas daripada kalian semua,” katanya ketika ditemui di Pasir Pekan, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, banjir yang melanda pada kali ini adalah yang terbesar berlaku selepas 10 tahun.

“Malah ada sesetengah tempat iaitu di Rantau Panjang dan Tumpat yang mengalami banjir lebih besar berbanding 2014 dan hampir menyamai banjir pada 1967,” katanya.

Ketika diminta mengulas berkaitan tahap kerugian yang dialami sepanjang banjir gelombang pertama, beliau berkata pihaknya masih dalam perbincangan untuk menilai dan bakal melaporkannya apabila selesai.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here