Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman telah mengemukakan Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 (“RUU”) untuk bacaan kali yang pertama di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut satu kenyataan, bacaan kali kedua bagi RUU pula dijangka akan dibentangkan pada 9 Disember ini.
RUU tersebut melibatkan penambahbaikan amalan undang-undang di Malaysia dengan pindaan terakhir terhadap Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166] telah dilaksanakan lapan tahun lalu.
“Antara lain, pindaan itu merangkumi penubuhan perkongsian guaman liabiliti terhad sebagai model firma guaman baharu, formalisasi Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam, pindaan kepada subseksyen 77(1) bagi membenarkan pengawal seliaan amalan, kesopanan, kelakuan dan tatatertib profesional peguam bela dan peguam cara, serta penambahbaikan kepada proses pendaftaran peguam dan latihan praktikal bagi pelatih dalam kamar.
“Selain itu, RUU juga bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan Lembaga Kelayakan Profesyen Undang-Undang (LPQB) dengan memperkenalkan peruntukan tambahan yang membenarkan Ketua Audit Negara melaksanakan audit tahunan terhadap akaun LPQB,”menurut kenyataan, semalam.
Kesemua penambahbaikan ini dianggap penting untuk meningkatkan taraf piawaian kelayakan dan ketelusan peguam di negara kita di samping merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menarik minat lebih ramai pengamal undang-undang untuk beramal di Malaysia serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi terhadap sektor itu.
IMedikel TV






