MADRID: Impak berkesan Vinicius Junior membantu Real Madrid bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Espanyol 4-1 awal pagi tadi sekali gus melonjak satu mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.
Pemain Brazil itu bermula di bangku simpanan namun mencipta gol buat Rodrygo Goes sebelum dia sendiri melengkapkan kebangkitan Madrid ketika gol sendiri Thibaut Courtois membolehkan pelawat mendahului pada awal babak kedua.
Dani Carvajal menyamakan kedudukan buat Madrid tidak lama kemudian sebelum Vinicius tampil memukau, dengan Kylian Mbappe menambah gol lewat menerusi sepakan penalti bagi menyumbat gol dalam empat perlawanan berturut-turut.
Barcelona kendalian Hansi Flick, yang berbangga dengan rekod sempurna lima kemenangan dalam lima perlawanan, bertandang ke pasukan tangga keempat Villareal malam ini, mengintai peluang untuk mengembalikan kelebihan empat mata di puncak.
“Sukar bagi kami untuk menjaringkan gol pada babak pertama tetapi kami mencipta banyak peluang,” kata pemain tengah Luka Modric kepada Real Madrid TV.
“Pasukan beraksi cemerlang… kami mengharungi perlawanan yang hebat dan kami boleh bergembira, tetapi kami perlu meneruskannya (sebegini).”
Kemenangan komprehensif itu adalah yang ke-38 berturut-turut tanpa kalah buat Madrid dalam La Liga, kekalahan terakhir mereka setahun lalu, menentang Atletico Madrid pada September 2023.
“Ia membuktikan kekuatan kami, tidak kalah dalam beberapa minggu amat bagus, tetapi kami perlu meneruskannya,” jelas Modric.
“Ia kualiti, karakter, komitmen daripada pasukan, setiap orang bersedia apabila dipanggil… itu adalah faktor utama.”
Susulan kalendar yang padat, jurulatih Madrid Carlo Ancelotti merehatkan Vinicius pada awalnya, memilih Arda Guler di tempatnya di samping Mbappe dan Rodrygo. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






