Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan giat menjalankan siasatan menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam usaha memburu penyeludup bagi kes tembakan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pangkalan Haram Pok Mat, Tumpat Rabu lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya menjalankann siasatan yang teliti kerana insiden itu melibatkan hubungan antara dua negara.

“Polis Kelantan menerima laporan berhubung kejadian tembak itu pada hari yang sama (Rabu) dan kami sudah bertukar maklumat dengan pihak berkuasa di Selatan Thailand bagi mengenal pasti dan memburu suspek.
“Perbincangan ini perlu penjelasan dan rumusan hasil daripada siasatan lanjut yang dijalankan kedua-dua pihak,” katanya kepada pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, kelmarin.
Terdahulu media melaporkan seorang penyeludup lelaki telah melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota JKDM Kelantan semasa operasi penguatkuasaan membanteras penyeludupan petrol dan diesel berhampiran Pangkalan Haram Pok Mat, Kampung Simpangan, Tumpat pada 9.45 pagi, Rabu lalu.
Beliau berkata bagi mengukuhkan kawalan sempadan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan, pihaknya turut memanggil agensi berkaitan yang mengawal sempadan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk berbincang mengenai insiden tersebut.

“Pihak JKDM sebaik-baiknya tidak bersendirian semasa menjalankan operasi dan saya fikir perlu ada satu perbincangan serta kerjasama dengan pelbagai pihak semasa menjalankan tugasan.
“Setiap agensi penguatkuasaan di sempadan perlu bersedia dengan segala tindak balas daripada kumpulan penyeludup, terutama memaklumkan mengenai lokasi setiap anggota yang menjalankan tugas di sempadan,” katanya.
IMEDIKEL TV






