Home Sukan MISI BALAS DENDAM SELANGOR SELESAI

MISI BALAS DENDAM SELANGOR SELESAI

176
0

KUALA LUMPUR: Selangor melunaskan dendam ke atas PDRM apabila meraih kemenangan 3-1 dalam aksi terakhir Liga Super musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Gergasi Merah yang tewas 0-1 kepada PDRM pada pusingan pertama, Jun lalu, bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-37 untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Faisal Halim.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe kemudian meraih gol kedua menerusi kapten, Brendan Gan pada minit ke-45 yang melakukan tindakan susulan selepas bola tandukan Ayron Del Valle terkena tiang.

PDRM berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-71 apabila pemain import dari Jordan, Fadi Awad menyempurnakan hantaran Uche Agba.

Richmond Boakye bagaimanapun mengesahkan tiga mata terakhir menjadi milik Selangor apabila meledak gol ketiga pada minit ke-89.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor yang sudah mengesahkan gelaran naib juara Liga Super lebih awal mengumpul 61 mata keseluruhan hasil daripada 20 kemenangan, satu seri dan tewas lima kali.

Sementara itu, PDRM kekal di kedudukan kelapan mengutip 37 mata selepas merekodkan 11 kemenangan, seri empat kali dan tewas 11 kali dalam 26 perlawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here