NOTTINGHAM: Tottenham kembali meneruskan misi memburu kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest hasil jaringan Richarlison dan Dejan Kulusevski.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Richarlison meletakkan skuad kendalian Ange Postecoglou di depan pada babak pertama dan Kulusevski menambah jaringan selepas rehat aksi di City Ground.
Pemain tengah Tottenham, Yves Bissouma dibuang padang kerana terjahan berbahaya ketika permainan berbaki 20 minit, tetapi pelawat mengekalkan kelebihan hingga wisel penamat untuk kemenangan kedua berturut-turut.
Spurs kini menyamai kutipan mata pasukan tangga keempat, Manchester City yang bermain kurang satu perlawanan dan akan melayan kunjungan Crystal Palace malam ini.
Selepas menang buat pertama kali dalam enam aksi liga terakhir hujung minggu lalu dengan membenam Newcastle, Spurs yakin mereka mampu bangkit daripada kemerosotan sejak beberapa minggu lalu.
“Richarlison adalah peledak berbisa. Saya gembira dengan prestasinya ketika latihan dan saya yakin dia mampu menjalankan tugas buat kami.
“Ia perlawanan yang sukar di sini. Anda perlu berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu. Apabila bola keluar untuk lontaran ke dalam, terasa seperti dibolosi gol,” kata Postecoglou.
Forest pula masih belum merakam kemenangan dalam enam perlawanan terakhir mereka dan hanya menang sekali dalam 13 perlawanan, sekali gus menambah tekanan ke atas pengendalinya, Steve Cooper.
Forest kini lima mata di atas zon penyingkiran, tetapi jurang itu akan berubah bergantung kepada keputusan pasukan-pasukan lain yang juga bergelut menyelamatkan kedudukan masing-masing. – AFP-BH ONLINE-
Imedikel TV






