BEIJING: Pemuda yang pernah gempar menjadi ‘budak Genius’ di China selepas memasuki universiti seawal usia 10 tahun dan menjadi penuntut doktor falsafah (PhD) dalam Matematik Gunaan pada usia 16 tahun, kini hanya menghabiskan harinya tanpa melakukan apa-apa.
Sebaliknya, Zhang Xinyang, 28, ketika ini sekadar bergantung kepada ibu bapanya untuk mendapatkan wang.
Oddity Central melaporkan, kebijaksanaan Zhang mengejutkan ramai satu ketika dulu, namun sikapnya mula berubah selepas usianya meningkat dewasa.
Hanya sebulan berkhidmat di Universiti Aeronautik dan Astronautik Beijing (BUAA) sebagai penuntut PhD, Zhang menjadi tajuk utama berita di negara itu kerana kelantangannya memberi kata dua kepada ibu bapanya sama ada mereka membelikannya sebuah pangsapuri atau dia berhenti belajar.
“Ibu bapa saya mahu saya tinggal di Beijing namun jika saya tidak mempunyai rumah sendiri di sini, saya akan ‘hanyut’.
“Jika saya seperti mereka, mengapa ibu bapa saya mahu saya mendapat ijazah kedoktoran?” kata Zhang dalam temubual televisyen sambil menambah bahawa ibu bapanya harus mengambil tanggungjawab menyediakannya dengan persekitaran hidup yang baik.
Bimbang Zhang berhenti belajar selepas meraih banyak kejayaan memaksa ibu bapanya menyewa sebuah pangsapuri di Beijing dan berbohong mereka sudah membelinya.
Difahamkan, bapa Zhang juga seorang yang bijak dan dia mungkin berada dalam generasi pertama pelajar dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Renmin, tetapi keluarganya tidak mampu untuk menampung pengajiannya.
Disebabkan itu, bapanya berharap Zhang dapat merealisasikan impiannya.
Sikap Zhang dikritik oleh orang ramai, tetapi itu nampaknya tidak menjejaskan pemuda.
“Ibu bapa saya melahirkan saya dan memaksa impian mereka kepada saya, berharap suatu hari nanti saya akan mencapai apa yang mereka mahu peroleh pada masa lalu,” kata Zhang.
“Mereka merancang hidup untuk saya, cuba membuat saya berfikir apa yang mereka mahu saya lakukan.”
Ibu bapa Zhang kesal kerana mungkin memaksanya terlalu keras tetapi berharap kejayaannya akan membenarkan tindakan mereka.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi seperti yang mereka harapkan. – AGENSI, HMetro Online –
IMEDIKEL TV






