Home Sukan KULUSEVSKI BANTU SPURS IKAT CITY

KULUSEVSKI BANTU SPURS IKAT CITY

161
0

MANCHESTER, England: Juara bertahan Manchester City seri kali ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pemain Tottenham Hotspur, Dejan Kulusevski menyumbat gol penyamaan pada minit ke-90 bagi mengikat kedudukan 3-3 awal pagi tadi.

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Jaringan pemain gantian Jack Grealish pada minit ke-81 dilihat mampu memberikan kemenangan buat City tetapi Kulusevski menanduk masuk hantaran silang Brennan Johnson sekali gus membantu pasukannya yang mengambil pendekatan berisiko.

City tidak menang dalam tiga aksi liga buat kali pertama dalam tempoh enam tahun dan kini mendapati mereka di tangga ketiga carta liga, tiga mata di belakang pendahulu Arsenal dan satu di belakang Liverpool.

Pasukan kendalian Pep Guardiola berang pada masa kecederaan apabila Grealish menerima lorongan bola untuk menjaringkan gol tetapi permainan dihentikan kerana kekasaran terhadap Erling Haaland ketika gerakan itu.

“Amat sukar apabila anda mengkaji semula imej, pengadil memutuskan untuk meniup wisel selepas beliau sudah menyatakan supaya meneruskan permainan. Selepas hantaran itu, wisel, saya tidak faham dengan tindakan ini,” kata Guardiola kepada Sky Sports.

Pemain Manchester City, Jack Grealish (kanan) merembat masuk gol ketiga menentang Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS

“Ia satu perlawanan yang bagus. Ia menyedihkan. Kadang-kadang bola sepak seperti satu kehidupan, anda tidak dapat apa yang anda berhak dapat.”

Tottenham bermain dengan garang pada ketikanya dan anak buah Ange Postecoglou kekal dengan prinsip menyerang mereka sekali gus menamatkan rentetan kalah tiga perlawanan sekalipun kehilangan beberapa pemain susulan kecederaan dan penggantungan.

“Kami bernasib baik untuk bersaing ketika rehat,” kata Postecoglou. “City mungkin boleh menamatkan cabaran kami dalam tempoh itu, agak sama dengan apa yang berlaku terhadap kami menentang (Aston) Villa minggu lalu.

“Kami bersaing di luar sana, babak kedua lebih bagus, lebih banyak menguasai dan lebih tinggi keyakinan dalam pasukan. Kami mendapat hasilnya dan ia sesuatu yang hebat buat mereka.”

Tottenham hanya memerlukan enam minit untuk mengejutkan tuan rumah apabila Son Heung Min mengatasi Jeremy Doku susulan hantaran jauh Kulusevki sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol City, Ederson.

Namun tiga minit kemudian Son menjaringkan gol sendiri apabila hantaran lintang Julian Alvarez melantun di pahanya sekali gus muncul pemain pertama menjaringkan gol dan gol sendiri dalam tempoh 10 minit pertama aksi EPL sejak pemain Aston Villa, Gareth Barry menentang Charlton Athletic pada tahun 1999.

Ketaksuban Tottenham bermain bola dari bawah sering kali mengundang risiko dan ia menghukum mereka pada minit ke-31 apabila mereka kehilangan bola dan City berbalas hantaran sebelum Alvarez mengumpan kepada Phil Foden untuk merembat masuk.

Tekanan City mengendur selepas rehat dan Tottenham mula mendominasi dan rembatan leret Giovani Lo Celso yang terkena tiang gol sebelum masuk berjaya menyamakan kedudukan.

Namun Tottenham ketinggalan semula apabila Yves Bissouma kehilangan bola dan Haaland mengumpan kepada Grealish untuk meledak masuk apa yang dilihat sebagai gol kemenangan.

Tottenham terjaga daripada lena untuk meraih keputusan seri dan melonjak kembali ke tangga kelima dengan 27 mata daripada 14 perlawanan. – REUTERS-BH ONLINE-

Imedikel Tv

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here