LISBON: Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro bintang Portugal, Cristiano Ronaldo boleh beraksi dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung sebahagian hukuman terhadapnya susulan kad merah yang diterima sebelum ini.
Pemain berusia 40 tahun itu dilayangkan kad merah ketika Portugal tewas 0-2 di Dublin awal November lalu selepas dia menyiku Dara O’Shea, menyaksikan dia dibuang padang kali pertama dalam 226 penampilan antarabangsa.
FIFA menggantung Ronaldo untuk tiga perlawanan, namun dua daripadanya digantung pelaksanaannya, manakala satu lagi sudah pun selesai dijalani ketika Portugal mengesahkan kelayakan ke kejohanan musim panas depan selepas menewaskan Armenia.
“Selaras dengan artikel 27 Kod Tatatertib FIFA, dua baki penggantungan itu ditangguhkan di bawah tempoh percubaan selama setahun,” kata FIFA dalam kenyataan kepada AFP.
“Jika Cristiano Ronaldo melakukan kesalahan lain yang sama sifat dan tahapnya sepanjang tempoh percubaan, penggantungan itu akan serta-merta dikuatkuasakan dan dua baki perlawanan perlu dijalani segera dalam aksi rasmi (Portugal) berikutnya,” kata kenyataan itu lagi.
Ronaldo, penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak antarabangsa lelaki dengan 143 gol, berhasrat untuk beraksi pada Piala Dunia keenamnya tahun depan di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.
Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu, kini bersama Al Nassr di Arab Saudi, masih belum menjulang trofi Piala Dunia tetapi pernah memenangi Euro 2016 bersama negaranya.
Ronaldo turut menghadiri satu majlis makan malam di White House minggu lalu, di mana dia bertemu Presiden AS, Donald Trump.
Majlis undian peringkat kumpulan Piala Dunia akan berlangsung pada 5 Disember. – AFP, Hmetro Online –
IMedikel TV






