Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU: Belanjawan 2024 adalah rangka kerja ekonomi madani yang memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di dewan rakyat, pada Jumaat.
Ia adalah belanjawan kedua dibentangkan di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Team IMedikel TV berkesempatan menemu bual beberapa orang awam bagi bertanyakan pendapat mereka tentang belanjawan tersebut, di Kota Bharu Medical Centre (KBMC) di sini, baru-baru ini.
Diskaun bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapat sambutan baik kepada peminjam.
Pekerja swasta, Nor Hanis Mod, berkata inisiatif itu berjaya mengurangkan beban yang dipikul peminjam memandangkan ramai yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

“Saya adalah salah seorang peminjam PTPTN jadi saya rasa pengurangan itu memang dapat meringankan bebanan peminjam untuk membayar balik,kerana diskaun yang dilaksanakan untuk bayaran penuh itu. Jadi saya dapat menggunakan tabungan saya untuk membuat pembayaran penuh PTPTN,”katanya kepada pemberita ketika ditemui ketika Program Charity Funride for Down Syndrome, di KBMC, di sini, baru-baru ini.
Tambah Hanis, hal itu sekaligus dapat mengurangkan peratus peminjam yang tidak membayar pinjaman PTPTN.
Selain itu, pekerja swasta, Aina Sofiyyah Mohammad, 23, berkata keputusan menghadkan yuran universiti awam tidak melebihi RM1,500 adalah tepat dan wajar untuk pelajar.

“Bagi saya pengurangan yuran universiti yang menghadkan sehingga tidak melebihi RM1,500 sangat berbaloi kerana sebelum ini, yuran pengajian saya melebihi RM1,500. Selain daripada itu, lagi membebankan apabila terdapat universiti tertentu yang mengenakan yuran sehingga RM3,000.”
Aina berkata, langkah itu dapat membantu pelajar dan ibu bapa yang terjejas dari segi kewangan sekaligus memperlihatkan keprihatinan kerajaan.
Manakala, Azman Ibrahim, 58, berkata langkah kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup memadai dan berketepatan kepada rakyat.

“Bagi saya, Belanjawan 2024 pada kali ini adalah belanjawan yang terbaik.
“Peruntukkan dari segi pengangkutan yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu memang memadai namun, ianya bergantung pada pengurusan seseorang itu,”katanya.
Katanya, kerja penyambungan pembinaan lima Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) adalah dapat memudahkan orang ramai untuk menaiki pengangkutan awam.
IMedikel TV






