KUALA LUMPUR: Kejohanan CIMB Rising Star dan Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Finals 2023 melabuhkan tirainya hari ini dengan menyaksikan Tay Jun Qian dan Doyce Lee Yee masing-masing muncul juara kategori bawah 19 (B-19) tahun lelaki dan perempuan.
Aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan S2, Seremban hari ini menyaksikan Jun Qian turun sebagai pilihan pertama kejohanan menentang Hashvind Kugan dari Kuala Lumpur.
Jun Qian yang masih segar memenangi Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan Pusingan Ketiga di Petaling Jaya bulan lalu ternyata sukar digugat apabila berjaya membalas segala pukulan daripada Hasvind dalam perlawanan ini.
Pemain yang mewakili Selangor itu mudah mendominasi keseluruhan perlawanan dan akhirnya dinobatkan sebagai juara dengan kemenangan 11-8, 11-9, 12-10 selepas 29 minit bertarung di dalam gelanggang.
“Saya beraksi dengan baik hari ini, saya mengikut segala apa yang dirancang dan semuanya berjalan dengan sempurna, jadi saya amat berpuas hati.
“Saya amat gembira dengan kejayaan ini kerana situasi amat sukar untuk memulakan semula latihan selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Saya kembali semula selepas menduduki peperiksaan, dan cuba mendapatkan semula tahap kecergasan saya, ia perjalanan yang amat sukar,” kata Juy Qian dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), hari ini.
Memetik laporan menerusi berita harian,Aksi perempuan B19 tahun pula menyaksikan pertarungan antara Doyce dari Sabah menentang Whitney Isabelle Wilson yang mewakili Pulau Pinang.
Walaupun ketinggalan dalam dua set pertama, Doyce menampilkan aksi semangat juang yang tinggi untuk memenangi baki tiga set berikutnya dengan keputusan 5-11, 9-11, 11-8, 11-5, 11-9 dalam tempoh 37 minit.
“Saya rasa setiap kali bertemu dengannya (Whitney) akan sentiasa menjadi sukar kerana kami sudah bertemu banyak kali dan peluang bertemu dengannya pada hari ini adalah peluang untuk saya melakar kemenangan kerana sudah lama tidak menjuarai sebarang gelaran.
“Saya rasa kemenangan ini adalah batu loncatan untuk saya mengharungi kejohanan lain selepas ini antaranya saingan PSA di Melaka minggu hadapan dan kemudian Red Tone pada Disember,” kata Doyce.
Majlis penyampaian pingat dan hadiah kemenangan disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Penaung Persatuan Squasy Negeri Sembilan.
Keputusan
Lelaki B17 tahun
Addin Iqwan (Terengganu) menewaskan Muhammad Firdaus Naufal Zulkifli (Kedah) 11-2, 11-9, 11-5 (22 minit)
Perempuan B17 tahun
Harleein Tan (Negeri Sembilan) menewaskan Dakshayani Thangaraja (Kuala Lumpur) 11-8, 11-4, 11-6 (18 minit)
Lelaki B15 tahun
Izz Nabil Iman (Perlis) menewaskan Kaveeshan Gnan Easwaran (Kuala Lumpur) 11-3, 11-5, 11-9 (24 minit)
Perempuan B15 tahun
Jinoreeka Ning Manivannan (Perak) menewaskan Emelda Camalia (Kedah) 11-6, 12-10, 11-6 (21 minit)
Lelaki B13 tahun
Jayden Tan Li Khai (Selangor) menewaskan Faiz Darwisy (Kedah) 11-4, 11-4, 11-8 (21 minit)
Perempuan B13 tahun
Niea Chew (Selangor) menewaskan Siti Syaurah A Sufian (Sarawak) 11-7, 11-8, 11-4 (22 minit)
-BH ONLINE-
Imedikel TV






