Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV
TANAH MERAH: Seorang jurutera syarikat perkapalan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang penjawat awam di Machang pada 3 September lalu.
Tertuduh, Harun Narresat Ibrahim, 46, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Tuan Mohd Salleh Tuan Ibrahim, 51, di sebuah kedai makan di hadapan Hospital Machang Jalan Pasir Puteh Lama Machang kira-kira pukul 11.30 pagi pada 3 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati boleh dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Muhammad Zaki Abdul Kudos manakala tertuduh diwakili penguam Tengku Shazuan Tg Shariffudin.
Mahkamah menetapkan pada 13 November depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Media sebelum ini melaporkan seorang penjawat awam meninggal dunia selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Lama Pasir Putih-Machang berhadapan Hospital Machang.
IMedikel TV






