Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Orang ramai yang mengutip siput kemudi atau lebih dikenali sebagai kerang kapak di Pantai Sabak dinasihatkan supaya membersihkan hidupan laut berkenaan dengan sempurna dan memasaknya sehingga betul-betul masak sebelum dimakan.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, nasihat itu penting bagi mengelakkan risiko keracunan makanan susulan fenomena kemunculan spesies hidupan dasar laut berkenaan di kawasan pantai terbabit.
Menurutnya, Jabatan Perikanan menerima maklumat mengenai kehadiran siput kemudi yang dikutip orang ramai, khususnya di Pantai Sabak, sejak kebelakangan ini.
Katanya, fenomena berkenaan dipercayai berlaku susulan keadaan ombak dan arus laut yang kuat sehingga menolak hidupan dasar laut itu ke pesisir pantai.
“Kerang kapak adalah spesies dasar laut yang hidup di kawasan berpasir atau berlumpur. Fenomena ini jarang-jarang berlaku.
“Kita mengandaikan keadaan ombak pantai yang kuat menyebabkan siput kemudi ini ditolak sehingga naik ke darat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Program Pengenalpastian Lubuk Ikan Bagi Tujuan Pengurusan Sumber Perikanan Darat Mampan di Daerah Pasir Puteh Siri 2/2026, menerusi program ‘Jom Ikat Ikan Dalam Baruh’ di Kampung Tasek Pauh, Pasir Puteh, hari ini.
Mengulas aspek keselamatan makanan, Ismail berkata, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung dan hasil pemeriksaan awal mendapati kawasan pantai terbabit tidak menunjukkan tanda pencemaran setakat ini.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah aspek penyediaan siput berkenaan, termasuk memastikan lumpur dan pasir dibersihkan serta membuang bahagian yang tidak diperlukan.
“Pastikan ia dibersihkan dengan sempurna dan dimasak sehingga betul-betul masak. Jangan makan secara mentah kerana kita tidak mahu berlaku kes keracunan makanan.
“Setakat ini, kita belum menerima laporan berkaitan kes keracunan akibat pengambilan siput berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Perikanan akan memantau perkembangan fenomena berkenaan dan melaksanakan persampelan serta pengumpulan data sekiranya terdapat keperluan untuk kajian lanjut.
Katanya, rekod jumlah kutipan juga penting kerana hasil berkenaan dikategorikan sebagai hasil perikanan tangkapan yang perlu direkodkan.
IMedikel TV






