Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan Kelantan berjaya melepaskan kira-kira 600,000 benih ikan daripada pelbagai spesies asli ke sungai dan tasik terpilih di seluruh negeri itu sejak Januari hingga November tahun ini bagi memastikan kelestarian sumber perikanan darat.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif jabatan dalam memelihara khazanah biodiversiti akuatik selain memastikan keterjaminan makanan kepada masyarakat.
Menurutnya, program pelepasan benih ikan turut dilaksanakan bersama komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga dan memulihara sumber perikanan darat.
“Hari ini kita melepaskan lebih 700 ekor ikan dengan anggaran berat melebihi 100 kilogram untuk ditangkap penduduk kampung.
“Antara spesies yang dilepaskan termasuk puyu, toman dan haruan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Program Pengenalpastian Lubuk Ikan Bagi Tujuan Pengurusan Sumber Perikanan Darat Mampan di Daerah Pasir Puteh Siri 2/2026, menerusi program ‘Jom Ikat Ikan Dalam Baruh’ di Kampung Tasek Pauh, di sini, hari ini.
Dalam program sama, sebanyak 15,000 benih ikan baung turut dilepaskan ke Sungai Bahan Peran, menjadikan ia pelepasan kedua bagi spesies berkenaan.
Sebelum ini, jabatan turut melepaskan sebanyak 50,000 benih udang galah sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan populasi hidupan akuatik di perairan negeri ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pelepasan spesies ikan ke sungai dan tasik perlu dibuat berdasarkan hasil inventori ikan bagi mengenal pasti spesies asli yang sememangnya terdapat di kawasan berkenaan.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan pelepasan spesies asing yang boleh mengganggu keseimbangan ekosistem perairan.
“Antara spesies yang biasa kita lepaskan ialah lampam, udang galah dan baung. Sebelum melepaskan sesuatu spesies, kita akan mengenal pasti terlebih dahulu ikan asli yang terdapat di kawasan sasaran,” katanya.
Imedikel TV






