Home Sukan AKMARULNIZAM INGIN BANTU PAHANG RANGERS JULANG PIALA

AKMARULNIZAM INGIN BANTU PAHANG RANGERS JULANG PIALA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Ketua pasukan Pahang Rangers FC, Akmarulnizam Idris yakin kejayaan mampu berpihak pada Tok Gajah pada perlawanan akhir saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim ini.

Perlawanan akhir diadakan secara timbal balik dengan aksi pertama di Stadium Tertutup SUKPA, di sini pada 24 Oktober kemudian perlawanan kedua di gelanggang lawan 31 Oktober.

Menurut Akmarulnizam, tiada yang lebih bermakna pada setiap perlawanan dilalui melainkan kemenangan terutama dipentas akhir yang akan meletakkan pemenang sebagai juara.

Katanya, 17 perlawanan sepanjang musim ini berjaya dilalui hingga berjaya membawa Pahang Rangers ke pentas final walaupun diperingkat liga pasukan Tok Gajah berada ditangga ke tiga dibelakang Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Selepas menewaskan JDT diperingkat separuh akhir, impian seterusnya untuk mencatat kemenangan keatas Selangor dipentas akhir yang dijangka berhadapan cabaran begitu sengit.

“Walaupun rekod pertemuan dengan Selangor diperingkat liga Pahang Rangers gagal menyerlah, namun itu tidak bermakna kita tidak mampu menewaskan lawan pada dua pertemuan final nanti,” katanya, di sini semalam.

Menurut ketua pasukan Pahang Rangers itu, episod tewas 3-13 pada Selangor dipentas akhir musim lalu tidak mungkin berulang lagi, kisah hitam itu telah lama barisan pemain Tok Gajah lupakan.

Akmarulnizam yang mengalas tugas ketua pasukan musim ini, berkata dengan rekod enam gol musim ini seolah menambahkan lagi semangatnya untuk menambahkan lagi koleksi jaringan bagi menutup kalendar MPFL musim ini.

Katanya, kelibat dua awang import, Rodrigo da Silva dan Felipe de Souza diharap dapat menjadi senjata utama untuk menewaskan lawan yang membariskan gandingan pemain tempatan dan import berpengalaman.

“Saya berharap kejayaan menjulang kejuaraan MPFL pada 2023 sekali lagi berulang musim ini, pertemuan final pertama di gelanggang sendiri Sabtu ini diharap berakhir dengan kemenangan sebelum bertandang ke tempat lawan pada 31 Oktober.

“Jurulatih Pahang Rangers, Eloy Alonso Fraile telah melihat semula rakaman perlawanan dengan Selangor sebelum ini, saya yakin formula terbaik sedang dirangka untuk diterjemahkan pada dua pertemuan final,” katanya yang mencatat rekod beraksi lebih 100 perlawanan bersama Pahang Rangers.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here