Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Sebanyak 300 pelbagai spesies pokok hutan ditanam pada program Grow Now, Grow Futures di kawasan Hutan Simpan Chini, dekat sini, kelmarin.
Program tanggungjawab sosial universiti anjuran UCYP University adalah inisiatif bersama bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar selain memelihara kelestarian hutan di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik) UCYP University, Prof Madya Dr Mohd Hamisa Abdul Hamid, berkata program yang diadakan turut dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga khazanah alam semula jadi untuk generasi akan datang.
Menurutnya, program anjuran UCYP University dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang membabitkan penyertaan wakil universiti, komuniti Orang Asli dan agensi yang terbabit.
Katanya, seramai 100 peserta termasuk penuntut menyertai acara yang diadakan, mereka diberi peluang menanam pokok di kawasan yang disediakan dalam suasana meriah dan teruja.
“Program ini mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berakhlak mulia dan memiliki kesedaran serta tanggungjawab sosial yang tinggi.
“Penglibatan penuntut dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar memberi pendedahan bermakna di luar bilik kuliah, selain memupuk kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap komuniti,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan),Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Harry Yong dan Pengarah Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Pahang, Mohd Khasnieddy Khasimi.
Mohd Hamisa berkata, sebagai sokongan terhadap penganjuran program ini BSN Cawangan Pahang menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada UCYP University dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyediakan anak pokok untuk di tanam.
Sementara itu, Harry berkata, pihaknya menyumbang pokok Merbau, Keruing dan Petai untuk ditanam dalam kawasan yang disediakan dalam Hutan Simpan Chini.
“Pada program ini kita turut membawa bersama kakitangan yang bertanggungjawab membantu kerja menanam pokok di kawasan yang telah disediakan pihak penganjur.
“Jabatan akan terus membantu pihak yang berminat untuk mengadakan program menanam pokok sebagai usaha menghijau kawasan lapang,” katanya.
IMedikel TV






