Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kekangan kewangan dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga sukar keluar daripada persekitaran tidak selamat.
Menyedari perkara itu mendorong kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan bagi membolehkan mereka memulakan kehidupan baharu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kementeriannya memperuntukkan RM1 juta bagi membantu wanita yang berdepan situasi berkenaan, khususnya mereka yang tidak mempunyai sumber kewangan untuk menyelamatkan diri bersama anak-anak.

Beliau berkata, selain bantuan kewangan, kerajaan turut menyediakan bantuan perundangan, khidmat kaunseling dan kemudahan rumah transit bagi memberi perlindungan sementara kepada mangsa serta meningkatkan keyakinan mereka untuk keluar daripada kitaran keganasan.
“Mungkin ini tidak membantu atau menghalang mereka daripada dipukul lagi kerana itu cabaran yang berlaku di rumah, tetapi kami memberi keyakinan dari segi hak dan membantu mereka keluar dari rumah.
“Bantuan kewangan disediakan kepada wanita yang tiada duit untuk membawa anak lari daripada keganasan rumah tangga, selain kita menyediakan rumah transit untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Eliminate Violence Against Women (EVAW) sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, wanita yang memerlukan bantuan boleh tampil mendapatkan perkhidmatan di pejabat Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi Wanita (PRISMAnita) yang diwujudkan di semua negeri.
Beliau berkata, PRISMAnita berperanan sebagai pusat sehenti yang menyediakan rujukan, intervensi, sokongan, maklumat dan advokasi kepada wanita yang berdepan pelbagai isu termasuk keganasan rumah tangga.
Dalam pada itu, Nancy berkata, keganasan terhadap wanita tidak seharusnya dilihat hanya dalam bentuk penderaan fizikal kerana kawalan kewangan oleh pasangan juga merupakan satu bentuk penderaan yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan mangsa.
Katanya, tindakan pasangan mengawal atau tidak menyediakan wang bagi keperluan rumah tangga boleh menyebabkan wanita mengalami tekanan emosi, kemurungan dan ketidakpuasan hati, sekali gus menjejaskan keharmonian institusi keluarga.
“Malah, kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran keluarga yang tidak sihat akibat keganasan rumah tangga berisiko menerima kesan emosi serta terpengaruh dengan tingkah laku negatif yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.
IMedikel TV






