Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara Gunung Nuang berkuat kuasa semalam hingga suatu tarikh diberitahu kelak bagi menaik taraf denai pendakian selain menambah baik laluan yang rosak.
Penolong Pengarah kanan Hutan Lipur JPNP, Muhamad Rahman Mustafa, berkata Gunung Nuang terletak dalam Hutan Simpan Lentang memerlukan kerja penambahbaikan kemudahan yang sedia ada termasuk menambah infrastruktur baharu untuk keselesaan dan keselamatan pendaki.
Menurutnya, antara kerja yang akan dilakukan seperti menggantikan tali pemegang pendakian, memasang ‘trail maker’ sepanjang laluan, menyelenggara pokok bahaya, memasang papan tanda info dan check point.
Selain itu, katanya pembinaan pintu gerbang bagi tujuan promosi Gunung Nuang turut akan dilakukan, membina wakaf dan mercu tanda Air Terjun Kuala Lurau sebagai salah satu tarikan ke Gunung Nuang.

“Kita mendapat peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjalankan kerja berkenaan sebagai usaha mempromosi dan menaik taraf kemudahan kawasan pelancongan Gunung Nuang.
“Keputusan penutupan sementara Gunung Nuang itu diputuskan demi keselamatan orang ramai yang menggunakan laluan Via Janda Baik,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya tidak dapat memberi tempoh sebenar penutupan laluan ke Gunung Nuang kerana kontraktor yang dilantik perlu melakukan banyak kerja dalam satu masa selain faktor cuaca yang tidak menentu.
Muhamad Rahman berkata, jabatan mengingatkan pada pihak berkaitan supaya dapat mematuhi arahan larangan yang dikeluarkan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
“Musim tengkujuh di pantai timur kini telah bermula, mereka yang aktif dengan aktiviti mendaki diingatkan supaya lebih berhati-hati kerana laluan mendaki dan menurun akan licin hingga boleh menyebabkan kemalangan.
“Patuhi arahan Malim Gunung Perhutanan sepanjang berada dalam hutan, sekiranya hujan ketika dalam perjalanan ambil langkah keselamatan,” katanya.
IMedikel TV






