Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kekurangan fizikal pada tangan kanan tidak pernah mematahkan semangat Beh Jian Qing untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kampus Paya Besar, di sini.
Anak tunggal itu bertekad menggenggam segulung ijazah sebagai bekalan melangkah ke alam pekerjaan, sekali gus merealisasikan impian untuk berjaya dalam bidang perniagaan demi mengubah nasib keluarga.
Jian Qing berkata, dia mahu membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan seperti insan lain, selain membalas pengorbanan ibunya yang membesarkannya tanpa bantuan bapa.
“Impian saya untuk berjaya dalam bidang pendidikan bagi memenuhi cita-cita membela nasib keluarga yang ingin melihat saya melakar kejayaan sama seperti insan normal lain.
“Saya dibesarkan oleh ibu tanpa bantuan bapa. Sudah tiba masanya saya berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang perniagaan suatu hari nanti,” katanya.

Jian Qing antara 2,618 penuntut baharu yang mendaftar untuk menyambung pengajian di UMPSA kampus Paya Besar dan kampus Pekan, baru-baru ini.
Tanpa ditemani ahli keluarga, dia sanggup menaiki bas selama lapan jam dari Taiping, Perak ke Kuantan dengan tambang RM78 demi merealisasikan impiannya melanjutkan pengajian.
Semangatnya yang tinggi mengatasi kebimbangan untuk datang ke Kuantan buat kali pertama bagi memulakan kehidupan baharu sebagai mahasiswa.
Dia yang sebelum ini bekerja sambilan di sebuah kedai penghawa dingin berkata, bantuan serta sokongan kakitangan UMPSA banyak memudahkan urusan pendaftaran dan penempatannya di asrama.
Jian Qing kini mengikuti pengajian dalam jurusan Perniagaan dan Analisis selama empat tahun dengan harapan dapat menamatkan pengajian serta menggenggam Ijazah Sarjana Muda.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias, berkata pihak universiti sentiasa berusaha menyediakan kemudahan terbaik bagi memastikan urusan kemasukan penuntut baharu berjalan lancar.
Beliau berkata, pelbagai bentuk bantuan turut disediakan kepada penuntut yang layak, termasuk kemudahan berkaitan proses pendaftaran, pengangkutan dan penempatan di asrama.
“Kita menyediakan pelbagai kemudahan bagi melancarkan lagi proses pendaftaran dan pengangkutan, seterusnya kemasukan ke asrama.
“UMPSA kampus Paya Besar dan kampus Pekan menerima kemasukan pelajar secara serentak dalam suasana yang ceria serta lancar,” katanya.
IMedikel TV






