Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan membuka dua kertas siasatan berhubung isu tular membabitkan seorang aktivis media sosial dan komuniti Rohingya di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kedua-dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 341/268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, bagi kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dua lelaki tempatan ditangkap bagi membantu siasatan kes samun membabitkan seorang individu daripada komuniti Rohingya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan itu turut merujuk kepada maklumat yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa sebanyak 199 kes jenayah membabitkan pelarian Rohingya direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026.
Sementara itu, pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertujuan merekodkan identiti dan data biometrik pelarian secara sistematik.
Langkah itu juga bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tapisan keselamatan serta mengesahkan identiti individu yang berdaftar.
Beliau menegaskan pihaknya akan meneruskan siasatan secara profesional dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
Orang ramai turut diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Beliau berkata polis komited memelihara ketenteraman awam, menegakkan undang-undang serta memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
IMedikel TV






