Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BERA: Seramai 173 mualaf di daerah ini menerima bantuan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf bagi meringankan beban kehidupan golongan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, berkata bantuan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa kebajikan serta meningkatkan kesejahteraan golongan mualaf di negeri ini.
Katanya, pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan golongan mualaf, khususnya dalam memastikan kebajikan mereka terus mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya.
Menurutnya, usaha terbabit turut membawa mesej bahawa golongan mualaf tidak bersendirian dalam menempuh perjalanan kehidupan sebagai saudara baharu Islam.
“Sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting bagi membantu golongan mualaf menyesuaikan diri, memperkukuh kefahaman agama serta membina kehidupan yang lebih sejahtera.
“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan terbabit yang telah berkorban menukar agama, cahaya keimanan yang ada dalam diri mereka perlu terus dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf Zon Timur Daerah Bera 2026 di Dewan Seminar Masjid Darul Fikri, di sini kelmarin.
Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Mohd Fadzli Mat Saman.
Penganjuran program itu turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara agensi agama dan pihak berkaitan dalam memastikan kebajikan serta pembangunan golongan mualaf dapat dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
Rata-rata mualaf yang menerima bantuan bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan negeri sebagai tanda keprihatinan pada mereka. Bantuan diterima dapat meringankan beban keluarga.
Mereka yang menerima Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf terdiri daripada masyarakat Cina, India dan Orang Asli yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang daerah ini. Mereka disediakan dengan kemudahan mendalami ilmu agama selain bantuan lain.
IMedikel TV






