KUALA LUMPUR: Spekulasi hubungan cinta Datuk Fazley Yaakob dan usahawan sensasi, Datuk Seri Vida (DSV), terus mencuri perhatian apabila kedua-duanya dikatakan bakal disatukan sebagai suami isteri.
Memetik laporan Berita Harian, namun, Fazley yang juga penyanyi dan cef selebriti, tampil menjelaskan bahawa mereka belum berkahwin, malah belum mengikat tali pertunangan.
Fazley, 48, atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, berkata hasrat untuk mendirikan rumah tangga sememangnya ada, namun mereka perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu sebelum hubungan itu dimeterai secara sah.
“Alhamdulillah, saya suka apabila ada kata-kata manis dan doa yang positif. Setiap kata-kata itu adalah satu doa. Jadi, kalau dikatakan kami sudah berkahwin, jawapannya belum. Bertunang pun belum.
“Adakah kami bakal disatukan? Itu memang perjalanan, doa dan harapan kami. Insya-Allah,” katanya ditemui pada sidang media dan pelancaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 X Cuckootopia di Ballroom, Hyatt Regency Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.
Fazley tidak menafikan bahawa mereka berhasrat untuk menyegerakan perkahwinan, malah mengakui hati masing-masing sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baharu.
Bagaimanapun, katanya, penyatuan dua keluarga memerlukan perancangan teliti, termasuk mengambil kira perasaan ahli keluarga serta urusan dokumentasi yang perlu diselesaikan.
“Kalau ikutkan, dua tiga minggu sebelum ini memang kami nak kahwin. Hati itu memang sudah sampai, tetapi apabila dua keluarga bakal disatukan, ada proses yang perlu dilalui untuk menjaga hati dan menyatukan keluarga, selain urusan dokumentasi.
“Ini kerana yang berkahwin bukan teruna dan dara, tetapi duda dan janda. Jadi, proses itu mengambil sedikit masa. Tunggu dan doakan yang terbaik,” katanya.
Mengulas lanjut, Fazley berkata mereka berhasrat mematuhi adat Melayu dengan melalui proses merisik, bertunang dan seterusnya bernikah sebelum mengumumkan berita berkenaan kepada umum.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak, terutama orang tua yang perlu diberikan perhatian dalam setiap keputusan besar membabitkan keluarga.
“Saya dan DSV memang menjaga adat kerana kami ada orang tua dalam keluarga, baik di sebelah saya mahupun DSV.
“Jadi, adat itu akan kami patuhi. Kami akan melalui proses merisik, bertunang, bernikah dan sebagainya sebelum menghebahkannya kepada umum.
“Nantikan dan doakan supaya hasrat kami untuk menyatukan dua keluarga ini dapat direalisasikan secara halal, insya-Allah,” katanya.
Fazley berkata, pandangan keluarga dan anak-anak masing-masing turut menjadi pertimbangan sebelum mereka membuat keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa setiap peringkat perlu dilalui dengan tertib dan tidak boleh dilangkau semata-mata mahu mempercepatkan urusan perkahwinan.
“Apabila masing-masing sudah mempunyai keluarga dan anak-anak, kami berbincang secara telus. Pada saya, adat Melayu perlu dipatuhi dan tidak boleh melangkau mana-mana proses.
“Tidak boleh bertunang sebelum merisik atau bernikah tanpa melalui proses yang sepatutnya. Ada langkah yang perlu kita hormati,” katanya.
Dalam pada itu, Fazley berkata mereka memberi ruang kepada adik-adiknya untuk melalui urusan masing-masing terlebih dahulu sebelum mengatur langkah seterusnya berkaitan perkahwinan mereka.
Hubungan Fazley dan Vida mula menjadi perhatian ketika terbabit dalam program Talk To My Manager 2. Fazle dilapor menegaskan kemesraan mereka bukan kandungan media sosial yang dirancang semata-mata untuk meraih perhatian. – BH Online –
IMedikel TV






