Home Hiburan DUET HATI KAMA SITI NURHALIZA, NORANIZA IDRIS GEGAR TM STADIUM NASIONAL BUKIT...

DUET HATI KAMA SITI NURHALIZA, NORANIZA IDRIS GEGAR TM STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL

BUKIT JALIL: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta satu lagi detik ikonik dalam karier lebih tiga dekad pada Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Memetik laporan Berita Harian, disaksikan lebih 63,000 peminat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, konsert kali ini mencipta sejarah apabila lagu duet popular, Hati Kama kali pertama dipersembahkan bersama Noraniza Idris di khalayak selepas 26 tahun.

Layak dianggap konsert tradisional terbesar pernah dianjurkan di Malaysia, Siti membawa peminat menjejaki usahanya mengangkat akar budaya dalam lagu melalui bingkisan yang dipersembahkan pada konsert lebih tiga jam itu.

Pada konsert itu, Siti mengalu-alukan kehadiran Anwar yang sanggup berhujan menyaksikan persembahannya.

“Terima kasih kerana sudi turun padang saksikan konsert irama tradisional terbesar saya,” katanya selepas membuat persembahan duet bersama penyanyi undangan, Haziq Rosebi.

Anwar duduk bersebelahan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dengan masing-masing mengenakan baju hujan berikutan cuaca tidak menentu sepanjang konsert.

Biarpun berlangsung dalam hujan sejak konsert bermula tepat jam 8.30 malam, peminat tidak berganjak sebagai tanda sokongan buat penyanyi nombor satu negara itu.

Melihat kesungguhan dan pengorbanan peminat walaupun dalam kebasahan, Siti mengakui tersentuh, lantas mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan.

“Kita merancang segala-galanya, tetapi Tuhan menentukan. Saya tak boleh tahan hujan, tapi bila kena hujan sejuk sikit.

“Apa pun, ini satu impian yang saya tak tahu bila lagi boleh lakukan. Akhirnya jadi kenyataan di stadium terbesar negara ini,” ucap Siti yang kemudiannya disambut dengan sorakan dan tepukan peminat.

Konsert Tradisional Gema Bumantara dipentaskan Siti selepas sembilan bulan mencipta sejarah menerusi konsert tiga dekad pembabitannya dalam industri seni, iaitu Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 di lokasi sama pada 10 Januari lalu.

Konsert itu menjadi hadiah istimewa buat peminat selain usaha meraikan dan mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus relevan merentas generasi.

Ini sekali gus menjadi konsert solo pertama Siti di lokasi ikonik itu yang mengetengahkan sepenuhnya konsep muzik tradisional dan warisan Nusantara.

Menariknya, konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan artis undangan membabitkan penyanyi jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, Haziq Rosebi serta dua penyanyi dari Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.

Menerusi konsert berkenaan, Siti bukan sahaja mempamerkan kekuatan vokal selama kira-kira tiga jam persembahan, tetapi turut mengangkat seni budaya dengan pembabitan kumpulan penari zapin, persembahan wayang kulit dan peragaan busana tradisional.

Selain mempersembahkan lebih 30 lagu, Siti turut mengambil peluang mendedikasikan penghormatan buat komposer, penulis lirik dan penggiat irama tradisional menerusi konsert berkenaan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here