PARIS: Ousmane Dembele bangkit menebus kegagalan menyempurnakan sepakan penalti apabila menjaringkan gol dan mencipta bantuan jaringan untuk membantu Paris Saint-Germain (PSG) bangkit menewaskan Strasbourg 3-1, sekali gus merampas kedudukan teratas Ligue 1, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, PSG terlebih dahulu ketinggalan selepas bintang Amerika Syarikat, Giovanni Reyna meletakkan Strasbourg di depan pada minit ke-17 di Stade de la Meinau.
Pemenang Ballon d’Or tahun lalu, Dembele yang memulakan perlawanan di bangku simpanan, berpeluang menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-72, namun sepakannya tersasar.
Bagaimanapun, pemain itu segera menebus kesilapan apabila membantu pertahanan Ukraine, Illia Zabarnyi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-78, sebelum meledak gol untuk meletakkan PSG di depan dengan baki lima minit permainan.
Dembele kemudian memainkan peranan dalam gerakan gol ketiga PSG apabila membantu Desire Doue menyempurnakan jaringan pada masa kecederaan, sekali gus memastikan juara Perancis dan Eropah itu meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam Ligue 1 serta kemenangan keenam berturut-turut dalam semua pertandingan.
Pengendali PSG, Luis Enrique, mempertahankan keputusannya merehatkan beberapa pemain utama, termasuk Dembele, susulan jadual padat selepas kemenangan 4-2 ke atas Manchester City dalam Liga Juara-Juara, Khamis lalu, dan menjelang aksi menentang Barcelona, awal pagi Khamis ini.
“Saya memberitahunya, jika anda bermain selama 25 minit, mencipta bantuan jaringan dan menjaringkan gol, anda tidak perlu bermain lebih lama. Itu sudah memadai,” kata Enrique, sambil menegaskan pemain bukan mesin dan tidak mungkin sentiasa berada pada tahap terbaik.
PSG yang mengumpul 14 mata selepas tujuh perlawanan kini mendahului carta berdasarkan jumlah jaringan, mengatasi Lille dan Monaco.
Lille pula terikat 1-1 dengan Brest selepas penyerang veteran berusia 40 tahun, Olivier Giroud menyempurnakan sepakan penalti untuk menyelamatkan satu mata.
Dalam aksi lain, Lens, satu lagi wakil Perancis dalam Liga Juara-Juara, mencatat kemenangan 3-1 di gelanggang Troyes. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






