Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
SHAH ALAM: Syarikat Indonesia, Qiswa Nusantara Aviasi (QNA) bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha memulihkan semula Rayani Air Sdn. Bhd., dengan tumpuan kepada pembangunan rangkaian penerbangan antara Malaysia dan Indonesia serta pasaran serantau.
Penasihat merangkap Penganalisis Rayani Air dari Indonesia, Kapten Mahdi Prijatna berkata, perbincangan strategik yang diadakan di Shah Alam itu membabitkan hala tuju masa depan syarikat, termasuk aspek armada, pembiayaan dan pembangunan laluan penerbangan.
Menurut beliau, antara fokus utama yang dibincangkan ialah cadangan penerbangan berjadual yang menghubungkan beberapa bandar utama di Malaysia dan Indonesia bagi memenuhi permintaan perjalanan antara kedua-dua negara.
“Antara laluan yang dicadangkan termasuk penerbangan berjadual melibatkan KLIA Terminal 1, KLIA Terminal 2 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang) ke destinasi utama di Indonesia seperti Jakarta, Medan dan Bandung, serta beberapa destinasi lain pada masa hadapan,” katanya selepas pertemuan itu, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) QNA, Muhammad Aliah Mappasawang, Pengasas Rayani Air Sdn. Bhd., Datuk Karthiyani Govindan, Pemilik Rayani Air Sdn. Bhd., Ravi Abdullah dan Pengarah Operasi Penerbangan Rayani Air Sdn. Bhd, Kapten Aaron Naicker.
Kapten Mahdi berkata, perancangan awal turut melibatkan penggunaan dua pesawat Airbus A330-300 sebagai permulaan operasi, selain cadangan pengembangan armada sehingga 15 pesawat Boeing 737 MAX 8 bagi menyokong laluan domestik dan serantau.
Katanya, QNA dan Rayani Air juga sedang meneliti aspek pembiayaan, keperluan modal kerja serta perancangan operasi bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan secara berperingkat.
Jelasnya, pihak pengurusan Rayani Air Malaysia turut memberi tumpuan kepada penyelesaian liabiliti terdahulu, termasuk hutang, urusan alat ganti pesawat, caj pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bayaran parkir serta komitmen berkaitan yang lain.
Beliau berkata, kedua-dua pihak berharap fasa awal pelaksanaan dapat dimulakan menjelang pertengahan tahun 2027 sebelum syarikat mengembangkan operasi ke sektor penerbangan Umrah dan Haji.
“Bagaimanapun, semua perancangan ini tertakluk kepada hasil usaha wajar, kesiapsiagaan pembiayaan serta pematuhan kepada keperluan pihak berkuasa penerbangan,” katanya.
IMedikel TV






