Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Johor berhasrat memperkukuh kedudukannya dalam industri kecerdasan buatan (AI) global, dengan memperluas sektor pembuatan tempatan menerusi penggunaan teknologi moden dan pembangunan ekosistem infrastruktur digital.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, Johor kini mempunyai kapasiti pusat data melebihi satu gigawatt (GW) yang sudah beroperasi.
Katanya tambahan antara tiga hingga lima GW lagi kinibberada dalam fasa pembinaan atau perancangan.
“Perkembangan itu membuka peluang kepada Johor untuk membangunkan ekosistem industri lebih menyeluruh, daripada peralatan berkuasa tinggi dan sistem penyejukan kepada perkakas elektronik moden, perkhidmatan kejuruteraan serta ketersambungan optik berkelajuan tinggi.
“Kami bukan sahaja mahu Johor menjadi hos kepada infrastruktur digital, tetapi turut membantu menghasilkan teknologi yang memacunya,“katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi PRO3C (Malaysia) Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Ting Han berkata, pelaburan PRO3C, sebuah syarikat tersenarai di Taiwan, akan membantu Johor membangunkan teknologi yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan infrastruktur digital global.
Katanya pembangunan industri berteknologi tinggi itu turut membuka peluang kepada anak muda Johor untuk menceburi bidang pekerjaan berkemahiran tinggi, selain membina kepakaran khusus yang diperlukan industri.
“Kita menggalakkan kerjasama antara PRO3C dengan institusi pengajian tinggi tempatan bagi menyediakan latihan industri, latihan amali dan program latihan yang memenuhi keperluan industri.
“Kami mahu anak muda Johor menceburi bidang berkemahiran tinggi ini, membangunkan kemahiran khusus dan menyertai kerjaya yang menawarkan peranan serta tanggungjawab besar. katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat tempatan perlu diberi peluang lebih luas untuk menyertai rantaian bekalan global, khususnya dalam bidang perkakasan berketepatan tinggi, automasi, penyelenggaraan peralatan, pembungkusan dan logistik.
Menurutnya, penglibatan pembekal tempatan dalam rantaian bekalan pengilang global mampu membuka peluang perniagaan kepada mereka untuk menembusi pasaran lebih luas di luar Johor dan Malaysia.
“Apabila pembekal Malaysia menerima kepercayaan daripada pengilang global, hubungan itu mampu membuka pintu kepada pelanggan dan pasaran yang jauh melangkaui Johor atau Malaysia,” katanya.
IMedikel TV






